Sunday, April 22, 2012

Perkahwinan - Antara Hukum & Adat

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.

Menjadi Raja Sehari adalah satu perkara yang dinantikan kebanyakan anak muda.
Ianya dituntut dalam Islam bagi mengelakkan perkara-perkara haram berlaku seperti zina. Namun, Nikah adalah perkataan paling sesuai dalam Islam. Dalam Islam, rukunnya adalah mudah & tidak membebankan.

Tetapi dalam konteks kehidupan hari ini, menjadi persoalan kita, mengapa sukar untuk melaksanakannya? Jawapannya, adat terlalu dijunjung yang kadangkala membelakangi hukum.
Dalam kata lain, biar mati anak, jangan mati adat. Subhanallah...
Namun, keadaan ini masih boleh diperbetulkan jika ada yang berani untuk mengubahnya & memudahkannya segaris dengan kehendak Islam.

Antara perkara yang biasa dilakukan dalam majlis perkahwinan:

1. Budaya melamar: Perkara ini lebih menjuruskan kepada pasangan itu sendiri. Hari ini,ianya lebih dikenali dengan budaya proposal. Budaya itu hanya diamalkan oleh orang barat. Sebagai umat Islam & orang timur, berjumpa dengan keluarga, nyatakan hasrat untuk mengahwini anak perempuan. Ia lebih sopan & terelak dari fitnah & dosa. (jika berdua-duaan)

2. Membalas hantaran: Mengikut adat, jika lelaki menghantar 5 dulang, pihak perempuan perlu membalas 7 dulang. Jika lelaki menghantar 11 dulang, perempuan membalas dengan 13 dulang. Jika adat mengatakan begini, Islam mengatakan apa? Sepertinya keadaan itu seolah-olah sudah terikat dengan kita. Hantaran itu adalah hadiah dari satu pihak kepada pihak pasangan. Apa jua bentuk hadiah, hatta bilangannya, terpulang kepada si pemberi. Yang menerima harus rasa bersyukur & berterima kasih di atas pemberian tersebut.

3. Duit hantaran: Semakin tinggi pelajaran seorang perempuan itu, semakin tinggilah nilai duit hantarannya. Perkara itu juga antara tajuk utama yang dibualkan, tujuannya ingin tahu & membandingkan dengan orang lain. Tidakkah saudara menyingkap semula perkahwinan yang berlaku pada zaman Nabi SAW dahulu? Terlalu banyak jika hendak dicontohkan. Ada yang menjadikan baju perang, penguli tepung, & tidak kurang kulit kambing sebagai hadiah kepada pasangan. Adakah memberi kesan tidak elok kepada pasangan jika memberikan barangan seperti itu? Malah, kehidupan mereka dirahmati & diredhai.

4. Bersanding: Tempat untuk berdiri & duduk dalam beberapa ketika kadangkala memakan belanja ribuan ringgit. Tidak mustahil puluhan ribu ringgit. Alangkah suatu pembaziran telah berlaku! Isteri yang telah dinikahinya dipertonton di khalayak ramai dengan memperagakan pakaian yang menarik perhatian. Kecantikan seorang isteri itu hanya untuk suaminya, bukan untuk dikongsi bersama orang lain.

5. Menepung tawar & merenjis: Perkara ini adalah perkara yang harus dijauhi, kerana ianya adalah budaya yang diamalkan dalam agama Hindu. Ia bertujuan untuk penyucian jiwa bagi pasangan yang baru berkahwin. Tolonglah saudara, tinggalkan jauh perkara ini atau akan jatuh syirik jika kita masih mengamalkannya.

6. Berinai: Ianya adalah hiasan wanita. Berlaku perkara ketika di zaman Baginda SAW, yang mana (secara ringkasnya), ketika berurusan dengan wanita hanya melalui huluran tangan dari tabir, para sahabat tidak dapat membezakan tangan antara lelaki & wanita. Lalu Baginda SAW membenarkan wanita menghiasi tangannya dengan berinai dengan tujuan mudah dikenali bahawa tangan itu milik wanita. Lalu, dari mana datangnya adat lelaki mengenakan inai 3 jari di tangannya? Begitu juga wanita, mengapa harus diukir tangan itu dengan pelbagai ukiran yang menarik? Tahukah saudari, ianya diakui sebagai tatu yang bersifat sementara oleh kebanyakan ulama hari ini? Dan pasti saudari arif hukum pemakaian tatu dalam Islam, bukan?

7. Mencukur kening: Demi ingin kelihatan cantik di hari bersejarahnya, sanggup melakukan apa sahaja termasuk perkara dilarang. Berlebihan dalam berdandan adalah tidak digalakkan, inikan pula melakukan perkara yang telah diharamkan. Jauhilah perkara ini walaupun saudari berkata itulah sekali sahaja dilakukan seumur hidup. Carilah rahmat Allah, bukannya menempah laknat Allah.

8. Pakaian mengikut badan: Pernah saya datang sekadar meninjau beberapa kedai baju pengantin untuk kajian saya. Apabila ditanyakan, 'ada tak saiz baju yang longgar & selesa dipakai?'. Dan ini jawapan bagi semua kedai yang saya kunjungi: 'Pakai longgar-longgar tak cantik, dik. Adik cuba dulu pakai, nanti kakak boleh fitting baju adik ikut saiz badan adik. Adik tak nak nampak cantik ke masa kahwin adik nanti?'. Kakak, biar tak cantik pada pandangan orang, tapi cantik pada pandangan penduduk di langit sana...

9. Jurusolek: Kebanyakan (tidak semua) yang menjurus kepada bidang andaman adalah dari golongan lelaki seperti wanita. Termasuklah sebagai jurusolek. Bakal-bakal pengantin, sedarkah saudari? Mereka sebenarnya adalah lelaki. Walau naluri mereka halus, namun harus diingat. Nafsu mereka tetap ada sebagai lelaki. Aurat saudari & mereka tetap ada batasan. Bersentuhan, melihat aurat saudari...saudari merelakan? Bakal suami, tegar kamu membiarkan bakal isterimu dilihat & disentuh orang lain selain kamu?

10. Jurugambar: Budaya jurugambar hari ini juga saya lihat, suka mengambil gambar ketika pengantin perempuan sedang bersiap/berdandan. Ditambah pula, jurugambarnya adalah lelaki. Allahu Akbar! Bagaimana keadaan ini boleh terjadi & terus dibiarkan? Kemudian gambar-gambar ini dialbumkan atau di'post' ke dalam facebook masing-masing. Sekali lagi, si suami. Apakah awal perkahwinan kamu, sudah banyak dosa yang kamu terpaksa tanggung?

11. Adegan bergambar suami isteri: Buatlah apa sahaja sebagai kenangan akan datang. Di mana sahaja, di atas pelamin, bilik pengantin, di luar rumah berlatar-belakangkan panorama menarik. Bukankah perlakuan itu hanya menjadi rahsia antara suami isteri? Tidak usahlah dipamerkan pada khalayak ramai. Cukup menjadi rahsia kamu berdua sahaja.

12. Karaoke: Tanpa muzik, majlis perkahwinan tidak meriah. Dijemput kumpulan penyanyi bagi memeriahkan lagi majlis tersebut. Kemudian, diajak pula pasangan pengantin tadi mendendangkan lagu bagi menambah keserian majlis. Perkara ini tampak remeh. Namun, mengundang musibah sebenarnya. Cuba dilihat dari segi pergaulan, bercampur lelaki perempuan. Lagu yang dimainkan sejak dari pagi sehingga ke petang, sudah pasti melalaikan. Bukan tidak boleh menyerikan majlis dengan bentuk hiburan. Apa salahnya jika memasang lagu-lagu nasyid yang memuji Allah, selawat-selawat, burdah. Bukankah lebih aman & harmoni?


Ini hanyalah beberapa perkara yang disenarai-pendekkan, yang dianggap biasa oleh masyarakat kita hari ini. Fikirlah saudara, di manakah datangnya rahmat & barakah dariNYA jika kita sendiri yang menempah musibah dan murka Allah? Di mana datangnya keharmonian rumahtangga di kemudian hari jika pintu gerbang perkahwinan itu dicalari adat-adat yang melampaui hukum agama? Bukanlah mendoakan keburukan, namun lihatlah statistik perkahwinan hari ini & kadar penceraiannya? Anda mampu menilainya...