Friday, August 6, 2010

Muflis!!!


Diriwayatkan oleh Abu Ummah al-Bahili, di akhirat seorang hamba Allah terkejut besar apabila melihat catatan amalannya yang tidak pernah dilakukannya di dunia.

Maka, dia berkata kepada Allah swt : "Wahai Tuhanku! Dari mana datangnya kebaikan yang banyak ini, sedangkan aku tidak pernah melakukannya."
Maka, Allah menjawab : "Semua itu adalah catatan (kebaikan) orang yang mengumpat engkau tanpa engkau ketahui." Sebaliknya, jika pahala orang yang mengumpat itu tidak ada lagi untuk dibahagikan kepada orang yang diumpat, maka dosa orang yang diumpat itu akan dipindahkan kepada orang yang mengumpat.

Inilah yang dikatakan muflis di akhirat nanti. Melihatkan betapa buruknya perbuatan mengumpat ini, kita wajib berusaha untuk mengelakkannya. Oleh itu, perbanyakkanlah amalan-amalan seperti berzikir agar dapat menghindarinya, insya Allah...

Thursday, August 5, 2010

Beriktikaf

Iktikaf sangat-sangat dianjurkan oleh Baginda saw terutamanya di bulan Ramadhan. Kata Abdullah Ibn Umar : "Adalah Nabi saw beriktikaf pada sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan." (HR Bukhari)

Iktikaf adalah ibadat yang dituntut oleh Islam. Menghadirkan diri dalam masjid & berada di situ buat seketika. Dengan beriktikaf, kita dapat mendekatkan diri kepada pencipta kita. Membersihkan hati, mengenangkan kebesaran Allah swt.

Sedari pagi kita keluar dengan menjalani urusan dunia, melalui sepanjang hari dengan hiruk pikuk manusia, pelbagai jenis maksiat di kiri kanan kita sepanjang itu, adalah baik jika malamnya beriktikaf, menenangkan hati.

Namun, memikirkan keadaan kehidupan sekarang, tidak salah beriktikaf selepas solat Maghrib, lakukanlah perkara-perkara seperti mengaji, berzikir, bertahmid & bertasbih. Ini tidak akan mengganggu tugas harian Muslim sehari-hari.

Iktikaf sangat dituntut khususnya pada sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan. Tujuannya tidak lain adalah menggandakan amalan & mencari malam Lailatul Qadar...

Jangan Tinggalkan Begitu Sahaja...

Di akhir-akhir meniti penghujung Ramadhan, janganlah diisi dengan persiapan sambutan hari raya tanpa mempedulikan & memanfaatkan kemuliaan Ramadhan.

Di zaman pemerintahan Khalifah Umar Ibn Abdul Aziz, beliau memerintahkan seluruh rakyatnya supaya mengakhiri hari-hari terakhir Ramadhan dengan membanyakkan istighfar & bersedekah. Ini kerana dua perkara ini mampu menampal & menampung amalan puasa kita yang mungkin 'berlubang' & 'pecah'.

Ambillah peluang hari-hari tanpa gangguan hasutan iblis & syaitan ini dengan muhasabah diri. Seharusnya kita akan merasa sedih dengan berlalunya hari-hari yang dijanjikan rahmat ini. Sesungguhnya kita tidak layak ke syurgaNya. Namun kita juga tidak sanggup masuk ke nerakaNya. Pesanan Baginda saw kepada kita supaya melipatgandakan amalan menjelang akhir Ramadhan.

Rebutlah peluang ini selagi ada & jangan biarkan Ramadhan pergi berlalu tanpa memanfaatkannya...

Wednesday, August 4, 2010

Di Mana Kita Jika Dibanding Dengannya...

Saklabah...
Seorang daripada sahabat Rasulullah saw yang sangat taat & cinta kepada Rasul & Tuhannya. Di kala usia yang masih sangat muda, beliau telah menunjukkan tauladan yang sangat dikagumi yang boleh kita contohi sebagai remaja kini. Bilakah kita mampu menyamai maqam yang beliau miliki, Subhanallah...

Pada suatu masa telah diceritakan bahawa Baginda saw telah menyuruh Saklabah mencari sesuatu barang untuknya. Maka berangkatlah Saklabah mencari barang seperti yang diminta oleh Rasulullah saw. Dalam perjalanannya, beliau telah melalui rumah-rumah (ketika di zaman itu, rumah-rumah yang dibina, pintunya hanya ditutupi dengan kain-kain guni yang kasar). Ketika melewati sebuah rumah, telah ternampak oleh Saklabah seorang perempuan sedang mandi dengan secara tidak sengaja.

Sebaik terlihat itu, beliau diselelubungi rasa takut yang teramat-amat sangat. Beliau terbayang bahawa telah turun Jibril as menyampaikan khabar berita apa yang dilihatnya kepada Baginda saw. Beliau juga terbayangkan azab yang akan diterimanya kelak. Sehingga beliau langsung terlupa akan pesanan Baginda saw.

Beliau berlari tanpa arah tuju & tidak kembali ke sisi Rasulullah saw. Beliau berlari & bersembunyi di sebuah gunung yang tidak di duduki sesiapa kecuali seorang pengembala kambing. Di sana, Saklabah menangisi nasibnya sehingga beliau tidak mampu untuk memakan apa-apa kecuali meminum susu yang diberi oleh pengembala tadi.

Sementara, Baginda saw menunggu-nunggu kepulangan Saklabah sehingga berhari-hari. Kemudian, Baginda saw mengutuskan Umar al-Khattab supaya mencari Saklabah. Setelah puas mencari, akhirnya Amirul Mukminin itu menemui Saklabah dalam keadaan yang sangat lemah kerana tidak makan selama beberapa hari.

Saklabah akhirnya dibawa pulang & Baginda saw datang melawat Saklabah yang dalam keadaan lemah itu. Dipangkunya kepala Saklabah, namun Saklabah menolak kepalanya jatuh dari ribaan Rasulullah saw. Rasulullah saw memangku lagi kepala Saklabah, tetapi ditolak semula Saklabah.

Dalam keadaan yang risau, Baginda saw bertanya : "Kenapa Wahai Saklabah. Ceritakan kepadaku, apa yang telah menimpamu sehingga kamu begini?" Dengan esakan, Saklabah berkata : "Kepalaku yang penuh dengan dosa ini tidak layak dipangku olehmu Ya Rasulullah. Aku benar-benar berdosa. Apakah Allah akan menerima taubatku? Apakah aku akan diazabkan sekeras-kerasnya di akhirat nanti. Sesungguhnya aku benar-benar takut dengan azabNya Ya Rasulullah."

Melihatkan keadaan Saklabah, Baginda saw memangku semula kepala Saklabah dan Baginda berkata : "Sesungguhnya Syurga bagimu Saklabah. Allah telah mengampuni dosamu." Setelah mendengar itu, Saklabah menghembuskan nafasnya yang terakhir diribaan Rasulullah saw. Setelah dimandi & dikafankan, Baginda saw & para sahabat menyembahyangkan jenazah Saklabah.

Ketika hendak dikebumikan, Baginda saw telah tiba lewat sedikit. Melihatkan Baginda saw telah tiba, para sahabat yang hadir memberi laluan kepada Baginda saw kerana terlalu ramai yang menghadiri majlis pengkebumian tersebut. Namun, walaupun telah dibuka jalan untuk Rasulullah saw, namun Baginda masih terasa sempit & terpaksa bersesak untuk mara ke hadapan. Lalu berkatalah Baginda : "Sesungguhnya pengkebumian ini telah dihadiri juga oleh para malaikat yang tidak terhitung ramainya."

Mampukah kita mendapat penghormatan sebegini di akhir penghidupan kita nanti? Subhanallah, sedarlah remaja semua, apa sahaja yang kita miliki di dunia ini akan musnah. Tidak perlu kita mendabik dada, membangga diri dengan apa yang kita miliki hatta dengan rupa paras kita sekalipun. Tiada apa yang dapat menyelamatkan kita di sana kecuali amalan yang diterima olehNya.

Tuesday, August 3, 2010

Abul Fidaa' Ismail bin Katsir al-Quraisy (Ibnu Kathir)

Ibnu Kathir adalah seorang ahli dalam bidang hadith & juga seorang ahli tafsir. Nama lengkapnya ialah Ismail bin Umar bin Kathir bin Dhau' bin Dara' al-Quraisy. Beliau asalnya bermastautin di Busra (Basrah) kemudian berpindah ke Damsyik (Damaskus, Syiria).

Kelahirannya
Ibnu Kathir dilahirkan di daerah Mujaddil, daerah yang termasuk sebahagian daripada wilayah Kota Basrah, Syam pada tahun 701H/1302M. Ayahandanya ialah anak jati Basrah, Syam. Sementara ibunya dari Mujaddil.

Kewafatannya
Beliau meninggal di Damsyik pada hari Khamis 26 Syaaban 774H/1373M.Jenazah beliau diusung oleh para pentakziah yang besar jumlahnya & dimakamkan berhampiran permakaman Syeikh Ibnu Taimiah (dipemakaman para ahli sufi, di luar pintu Kota an-Nash di Damsyik).

Ayahanda Ibnu Kathir
Ayahandanya bernama Abu Hafsin Syihabuddin Umar bin Kathir. Beliau merupakan salah seorang ulama ahli feqah & juga seorang pemidato yang terkenal. Beliau dilahirkan (sebagaimana yang disebut oleh puteranya, Ibnu Kathir) di penghujung tahun 645H/1242M. Beliau berpindah ke Kota Damsyik bersama puteranya Ibnu Kathir pada tahun 706H/1306M. Ketika itu Ibnu Kathir baru mencecah umur 5 tahun.

Fokus dalam bidang keilmuan
Ibnu Kathir menghafal al-Quran pada tahun 711H/1311M. Hal itu dijelaskan di dalam biografinya. Awalnya Ibnu Kathir mendalami ilmu atas bimbingan saudaranya, Abdul Wahab. Selanjutnya beliau berusaha belajar di bawah bimbingan para ulama terkemuka di masanya.
Ibnu Kathir belajar di bawah bimbingan Syeikh Burhanuddin al-Fazari & Syeikh Kamluddin bin Qadhi Syubhah. Beliau juga belajar & menghafal kitab at-Tanbih karya asy-Syirazi dalam cabang Mazhab Syafie, & Muhtashar Ibnu Hajib di bidang Usul Feqah. Ketika menginjak dewasa, beliau belajar di bawah bimbingan Abul Hijaj al-Muzi. Beliau dinikahkan dengan anak gadis ulama ini. Ibnu Kathir juga dikenali sebagai salah seorang murid terkemuka kepada Ibnu Taimiah.

Pengulasan terhadap penulisannya
Saya mengagumi cara penulisan beliau banyak membawa pembaca supaya menimbang & berfikir lebih jauh & tidak menerima bulat-bulat terhadap penulisan & pandangannya. Bagi hendak membahaskan sesuatu topik, beliau lebih banyak mengketengahkan pandangan ahli hadith, ahli sejarah & periwayat-periwayat terkemuka seperti Ibnu Hatim, as-Suda, Qatadah, Muhammad bin Ishak & ramai lagi. Mereka ini mempunyai pandangan yang pelbagai sudut yang membawa pembaca jauh lebih mahu berfikir. Hadith-hadith yang diketengahkan juga bukan hanya hadith-hadith yang sahih, tetapi hadith-hadith dhaif, tidak bersanad, gharib & bermacam jenis lagi juga dimasukkan di dalam penulisan beliau, agar para pembaca mampu menimbang & tahu berfikir dengan lebih dalam. Namun, penulisannya disokong & dimantapkan dengan potongan ayat al-Quran & hadith-hadith yang sahih.

Hindar & Galak


Pada bulan Ramadhan, umat Islam amat digalakkan memperbanyakkan menyebut lima perkara dibawah seperti yang disarankan oleh Baginda saw :

  • Lebih banyak menyebut nama Allah daripada menyebut nama makhluk
  • Memperbanyak menyebut akhirat daripada menyebut urusan dunia
  • Memperbanyak menyebut hal kematian daripada menyebut hal kehidupan
  • Jangan menyebut-nyebut kebaikan diri & keluarga
  • Jangan menyebut & menampak-nampakkan keaiban atau keburukan diri orang lain

Insya Allah, dengan selalu mengamalkan & mengingatinya, mampu memberi kesedaran khususnya pada bulan Ramadhan ini. Semoga kita mampu menghayati & menerapkannya dalam kehidupan kita, insya Allah...


Ganjaran Keikhlasan Berpuasa


Kedudukan orang berpuasa di sisi Allah swt sangat mulia hinggakan Allah swt menyediakan pintu khas ke syurga yang dinamakan al-Rayyan.

Malaikat yang menjaga pintu itu akan menyeru & memanggil orang berpuasa untuk dimasukkan ke syurga melalui pintu al-Rayyan yang dijaganya & tidak ada yang dapat melaluinya melainkan mereka yang layak sahaja.

Daripada Abu Said al-Khudri, katanya Baginda saw bersabda : "Tidak seorangpun daripada Allah swt yang berpuasa sehari dengan niat kerana Allah, melainkan akan Allah jauhkan mukanya daripada kepanasan api neraka sejauh perjalanan 70 tahun lamanya."

Orang berpuasa dengan niat ikhlas kerana Allah, kemudian memelihara puasanya daripada amalan ditegah, Allah akan membalasnya dengan menjauhkan dirinya dari api neraka sejauh 70 tahun perjalanan.

Allah swt Membuka Pintu Rahmat

Dari Abu Hurairah ra berkata, Rasulullah saw bersabda : "Apabila masuk bulan Ramadhan, terbukalah pintu-pintu rahmat & tertutuplah pintu-pintu neraka serta terbelenggulah syaitan-syaitan (daripada merasuk mangsanya)."
(HR Muslim)

Menurut huraian ulama ini, bahawa terbukanya pintu-pintu syurga & tertutupnya pintu-pintu neraka serta terbelenggunya syaitan-syaitan di bulan Ramadhan, boleh difahami secara zahir bagi menghormati bulan Ramadhan yang mulia.

Boleh juga difahami melalui gambaran bahawa orang-orang yang berjaya merebut peluang mengisi bulan Ramadhan dengan pelbagai jenis ibadat (dari yang wajib hinggalah yang sunat), mencegah dirinya daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang, maka amalnya yang baik itu akan membawanya masuk ke syurga & amalnya itu jugalah yang menghalang & menyelamatkannya daripada hasutan syaitan & azab neraka.