Sunday, April 22, 2012

Jepun: Islam Tidak Asing Walau di Bumi Asing

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.

[Syukur Alhamdulillah, akhirnya sekian lama tersimpan dalam draft, dapat dikongsi juga bersama pembaca]

Segala pujian ke hadrat Allah SWT, dengan izin & kehendakNYA, saya diberi peluang bersama dua rakan lain menjejakan kaki ke tanah matahari terbit ini atas urusan kerja.
Bukanlah urusan kerja hendak diceritakan di sini. Tetapi, ingin berkongsi tentang keindahan Islam di sini. Sebelum berangkat, bermacam perkara yang bermain di fikiran, walaupun sedikit gambaran keadaan di sana telah diberi oleh sahabat.

Bersama dua rakan yang lain

Setakat apa yang saya ketahui, Islam di Jepun adalah suatu perkara masih dikatakan baru jika dibandingkan dengan kebangkitan Islam di negara lain. Ini kerana kisah kehidupan Baginda SAW ataupun kita senang dengan perkataan Sirah Nabi SAW diterjemahkan ke dalam bahasa Jepun pada tahun 1877. Satu lagi peristiwa penting bermulanya titik jejak Islam ke negara ini adalah ketika kerajaan Turki Uthmaniyyah menjalinkan hubungan diplomatik dengan menghantar sebuah kapal Ertugrul ke negara ini.

Sejarah juga mencatatkan penduduk jepun pertama yang memeluk Islam adalah Mitsutaro Takaoka. Setelah menunaikan fardhu haji di Mekah, beliau menukar namanya kepada Umar Yamaoka. Syukur Alhamdulillah...

Diketahui umum, penduduk di Jepun terkenal dengan hidup yang bertatasusila & sopan santun. Itulah yang saya dapati sendiri & bersetuju dengan tanggapan itu. Sikap mereka membuatkan kami senang & berlapang dada. Izinkan saya memberi beberapa contoh ringkas.

Semasa dalam penerbangan, waktu Subuh telah masuk. Dan tidak sempat menunggu pesawat ini mendarat untuk kami menunaikan fardhu Subuh. Dengan bantuan pramugari, mereka dengan senang hati memberikan ruang di kabin makanan untuk kami menunaikan solat. Apa yang membuatkan saya sedikit terkejut, mereka membersihkan dahulu lantai sambil berkata '[kena bersihkan dahulu sebelum kamu hendak sembahyang]'. Selesai solat, mereka berkata mereka teruja melihat perlakuan rukun solat. Nampak tersusun & tenang. Alhamdulillah, sesungguhnya Islam itu cantik.

Sepanjang kami di dalam kawasan tempat kerja, kami selesa mengerjakan solat. Kerana mereka menyediakan sebuah bilik khas untuk pekerja Islam menunaikan solat. Walau ia sederhana, tetapi cukup selesa. Ini menunjukkan mereka sudah mengenali Islam & faham serba sedikit apa yang diperlukan oleh kami. Syukur Alhamdulillah.

Dari soal pemakanan pula, saya sebenarnya sedikit risau mengenainya. Berada di negara bukan Islam, tentulah apa yang disyaratkan dalam Islam tidak dititikberatkan. Namun, sangkaan saya nyata meleset. Urusan kami di sana dimudahkan dari awal sebelum keberangkatan kami ke sana lagi. Mereka ketahui kami bertiga yang datang dari Malaysia adalah Muslim semuanya. Oleh itu, tentang makanan kami, mereka telah menempah khas dengan masakan Muslim di sana. Tidak putus rasa syukur kepada Ilahi kerana segalanya mudah saya lalui ketika di sana.

Kami dilayan dengan sebaik mungkin

Minum petang bersama peserta-pesera dari seluruh negara-negara lain

Sehari sebelum convention berlangsung

Dalam perjalanan pulang ke Malaysia, kami dibawa oleh rakan sekerja kami ke sebuah masjid di Fukuoka. Rasa teruja bila mengetahui ada masjid di sini. Sepanjang perjalanan, saya mengira sendiri berapa ramaikah penduduk Islam di sini, bagaimana keadaan mereka hidup di dalam lingkungan yang begitu minority bilangannya, apakah aktiviti yang biasa mereka lakukan untuk memeriahkan rumah Allah itu, dan bermacam-macam lagi yang saya fikirkan. Sebaik tiba di sana, saya memanjat rasa syukur tidak terhingga kepada Ilahi. Saya diberi peluang melihat keindahan rumah Allah di sini. Walau ianya kecil & jauh terpencil, namun itu bukanlah ukurannya. Masjid itu nampak cantik di mata saya. Cukup teruja saya rasa. Namun, apa yang saya ralatkan, kami tidak berpeluang untuk menunaikan solat di dalam masjid tersebut kerana berkunci. Mungkin bukan rezeki kami.

Berhadapan Masjid Fukuoka

Serba sedikit kenangan & pengalaman manis dapat saya kongsi bersama saudara. Harapan untuk ke sana lagi masih ada. Namun, segalanya bergantung rezeki & kehendakNYA jua. Semoga sinar Islam lebih bergemerlapan di sana, insya Allah.

Menyemak segala bentuk persembahan projek berada dalam keadaan baik

Sedikit taklimat diberi sebelum persembahan bermula

Persembahan projek dari Malaysia

PSN QCC World Presentation

Bersama pemenang-pemenang lain & pihak pengurusan

Berangkat pulang ke Malaysia