Saturday, April 21, 2012

Peribadi Hunusan Pedang dari Pedang-Pedang Allah



Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a: "Suatu hari aku bersama Rasulullah SAW berhenti di suatu tempat dan orang ramai berjalan dihadapan kami. Rasulullah SAW bertanya nama-nama orang yang melalui tempat itu. Kemudian muncul seorang lelaki lalu Rasulullah SAW bertanya, 'Siapakah itu?'. Aku menjawab, 'Itulah Khalid bin Walid'. Baginda SAW berkata, 'Hamba Allah itu adalah pedang daripada pedang-pedang Allah'."

Seorang utusan bernama Munajamah datang menemui Khalid al-Walid yang ketika itu sedang berhadapan dengan peperangan di Yarmuk. Utusan itu membacakan utusan dari Khalifah Umar ibn Khattab, 'Saya datang dengan membawa 2 berita sedih & 1 berita gembira. Pertama, Khalifah Abu Bakar as-Siddiq telah meninggal dunia & jawatan khalifah digantikan dengan Khalifah Umar al-Khattab r.a. Dan di atas perintah Khalifah Umar r.a, jawatan saudara sebagai ketua Panglima dilucut & digantikan dengan Abu Ubaidah bin Jarah r.a'. Dengan tidak menampakkan sebarang perubahan di wajahnya, Khalid al-Walid membuka surat perlucutan itu dengan tenang, lalu berkata, 'Segala apa yang kita miliki di dunia ini hanya bersifat sementara. Oleh itu, redha adalah jalan terbaik kerana semua yang terjadi adalah dengan izin Allah. Tambahan pula, Khalifah Umar r.a adalah sahabat Baginda SAW yang dijamin syurga. Saya tidak sedih atau kecewa dengan keputusannya'.
Subhanallah...

"Jawatan bukannya lambang kemegahan, tetapi tanggungjawab. Sekiranya tidak mampu ditunaikan, ia menjadi tanggungjawab di dunia & akhirat".
Saifullah, Khalid al-Walid

"Saya bercita-cita mahu mati syahid! Disebabkan itulah saya menyertai semua peperangan yang melibatkan tentera Islam. Di tubuh saya ini dipenuhi parut-parut luka. Tiada seinci pun tubuh saya tidak berparut akibat dari mata panah, tombak, pedang ataupun lembing musuh. Dada saya menjadi sasaran mata-mata senjata musuh, tetapi saya masih hidup. Syahid yang diburu tidak ditemui", begitulah rintih perindu syahid di jalan Allah.
Datang sahabat antara sahabat rapatnya, Abu Zanad r.a memujuk ketika Khalid al-Walid terlantar sakit. "Saudara tidak boleh syahid di medan perang. Baginda SAW semasa hayatnya telah mengurniakan kepada saudara dengan gelaran Pahlawan Pedang Allah. Baginda SAW mendoakan saudara menang dalam setiap peperangan yang saudara sertai, saudara tidak boleh mati dibunuh kafir kerana pedang Allah tidak boleh tewas di medan peperangan". Kata-kata itu membuatkannya bertambah sedih & hiba. Akhirnya, panglima tentera terbilang itu pergi menghadap Allah SWT dengan hajatnya yang tidak tersampai.

Titisan air mata taubat...

Air mata...
Aku senang jika kau tidak jemu setia menemaniku
Tatkala aku memerlukanmu...
Kehadiranmu mampu menterjemahkan sesuatu
Yang kadangkala sukar ditafsirkan melalui kata-kata...
Mengalirnya dirimu keluar dari genang mataku
Bukanlah mengharap simpati insani...
Cukup untuk aku persembahkan kepada Ilahi
Seluruh isi hati pengaduanku kepadaNYA...


Air mata...
Engkau hamba Allah
Yang sering disalahertikan oleh insan dikalangan manusia...
Engkau dianggap lemah
Dan lemahnya dirimu hanya diperlukan oleh orang yang lemah...
Biarlah mereka terus menerus menganggap dirimu begitu
Kerana melaluimu, aku melihat segala kecantikan & keindahan kurniaanNYA...


Titisan air mata...
Engkau adalah anugerah Allah
Yang sangat bernilai buatku...
Hadirmu dalam hidupku
Adalah nikmat dariNYA yang tidak ternilai buatku...
Dengan kehadiranmu, engkau berjaya menundukkan nafsuku...
Engkau mematahkan segala ego yang tegak bersarang di dalam hatiku...
Engkau mampu melembutkan hati kerasku...
Engkau membuka laluan untuk aku mengenal Zat Yang Maha Agung...
Allahu Akbar!


Ya Allah...
Dengan hanya menyebut namaMU, Ya Allah
Hatiku diserang rasa sayu
Segalanya tertumpah bila dihadapanMU
Seluruh pengaduan tentang perasaanku
Aku curahkan padaMU di dalam sujudku
Bertemankan hambaMU bernama air mata...

Nikmat apakah yang KAU kurniakan ini, Ya Allah...
Jadikanlah aku hamba yang sentiasa mensyukuri setiap nikmatMU...
Walaupun ianya sesuatu yang dianggap paling lemah di mata manusia...