Tuesday, July 27, 2010

Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan



Dalil yang mewajibkan kita menunaikan rukun Islam ketiga :

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءامَنوا كُتِبَ عَلَيكُمُ الصِّيامُ كَما كُتِبَ عَلَى الَّذينَ مِن قَبلِكُم لَعَلَّكُم تَتَّقونَ

Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.
(al-Baqarah : 183)

Kaum nabi terdahulu tidak pernah dikurnia Allah swt dengan mana-mana bulan mulia. Bukan sahaja digalakkan mengimarahkan bulan yang mengandungi seribu rahmat dengan amal ibadat & kebaikan, malah menunggu-nunggu kedatangannya juga mendapat rahmat Ilahi. Sabda Baginda saw : Sesiapa yang bergembira dengan datangnya Ramadhan, Allah akan mengharamkan jasadnya daripada api neraka.
(HR Ibn Majah)
Subhanallah...

Marilah berdoa supaya kita semua dipertemukan dengan tetamu agung ini. Tetamu ini turun sekali setahun memberi peluang kepada kita merebut ruang & peluang dengan janji-janji Ilahi. Penuhilah hari-hari yang mendatangkan kerahmatan ini dengan kebaikan & amal soleh. Ambillah peluang ini untuk merubah diri & visi hidup kita di dunia ini.

Ia 'Madrasah' bagi diri kita...
  1. Jadikanlah Ramadhan sebagai waktu & tempat yang paling sesuai bagi mendidik jiwa & nafsu kita agar menjadi lebih baik & mencapai makan taqwa yang lebih tinggi.
  2. Puasa juga menjadi benteng & perisai seseorang dalam mengawal nafsu kerana puasa dalam melemahkan nafsu yang banyak merosakkan. Seperti sabda Baginda saw : Puasa itu adalah perisai (HR Bukhari)
  3. Puasa juga mendidik hati menjadi lebih lembut & prihatin. Tanpa dibolehkkan makan & minum disiang hari, merasai kesusahan orang fakir miskin yang derita lapar & dahaga kerana kekurangan makanan.
  4. Puasa mendidik pelakunya beramanah. Tidak seperti ibadah lain seperti solat, menunaikan haji & sebagainya, yang menampakkan perbuatannya & lafaznya. Ibadah puasa hanya diketahui oleh diri kita sendiri & Allah swt sahaja samada kita menjalankan ibadah ini dengan betul atau sebaliknya.
  5. Mampu menajamkan akal pemikiran kita. Kebiasaannya, selepas makan, jika kita terus membaca, otak tidak mampu menerima apa yang dibaca. Kata Luqman al-Hakim : "Apabila perut penuh dengan makanan, maka fikiran akan tidur, kebijaksanaan akan diam & anggota badan menjadi malas."
  6. Puasa mengelak penyakit. Kebanyakan penyakit adalah berpunca dari cara pemakanan kita. Oleh itu, jika kita berpuasa, perut dapat direhatkan dari bekerja, seperti kata seorang tabib Arab : "Perut adalah rumah penyakit, dan berpantanglah adalah kepala segala ubat."

Istimewa Ramadhan
Ibadah-ibadah lain seperti solat, haji, zakat & ibadah lainnya dinyatakan ganjaran apabila mengerjakannya. Tetapi tidak pada ibadah puasa dibulan Ramadhan. Sabda Nabi saw : "...dia (orang yang berpuasa) meninggalkan makanan, minuman & nafsunya keranaKu. Puasa bagiKu & Aku yang akan membalasnya."
(HR Bukhari)

Seruan para malaikat
Apabila datangnya malam pertama bulan Ramadhan, para malaikat menyeru : "Wahai orang yang mencari & berkehendakkan kebaikan, tampillah mengerjakannya. Wahai orang-orang yang merasa mahu melakukan kemungkaran, berhentilah daripada meneruskan. Ketahuilah, Allah swt banyak membebaskan orang-orang yang dijanjikan dengan neraka daripada memasukinya."

Hadiah-hadiah Ramadhan.
  1. Berpuasa penuh sebulan
  2. Solat tarawih
  3. Tadarus al-Quran
  4. Zakat fitrah
  5. Lailatul Qadar
  6. Keampunan yang terbuka luas
  7. Rahmah dari Allah swt

Ramadhan adalah bulan yang penuh rahmat. Kalau kita masih tidak mahu merebut peluang bagi mendapat rahmat ini & membiarkan ia berlalu begitu sahaja, nescaya kita berada dalam keadaan yang sungguh rugi...




Monday, July 26, 2010

Semarakkan Malam Nisfu Sya'ban

ANTARA PERISTIWA DI BULAN SYAABAN

01. Berkata Imam Nawawi: Hari Nisfu Syaaban pada 15 haribulan tahun kedua Hijrah telah berlaku pertukaran kiblat umat Islam.Iaitu dari Masjid al-Aqsa ke Kaabah di Masjid al-Haram.

02. Berlaku peperangan Bani Mustalik pada tahun kelima Hijrah. Kemenangan berpihak kepada Islam.

03. Berlaku peperangan Badar yang terakhir pada tahun keempat Hijrah.




ANTARA AMALAN DI BULAN SYAABAN

Memperbanyakkan puasa sunat.


Saidatina Aisyah berkata:Aku tidak pernah melihat Rasulullah S.A.W. menyempurnakan puasa sebulan penuh melainkan pada bulan Ramadhan dan aku tidak pernah melihat baginda memperbanyakkan berpuasa sepertimana pada bulan Syaaban.

(Riwayat Bukhari dan Muslim)


Saidatina Aisyah berkata:

Nabi Muhammad S.A.W. tidak banyak berpuasa melainkan pada bulan Syaaban dan baginda telah berpuasa sebulan penuh pada bulan Sya’ban. Dan adalah baginda bersabda: Lakukanlah amalan yang mana kamu mampu membuatnya maka sesungguhnya Allah tidak membebankan (mewajib) kamu sehingga kamu merasa berat dengan bebanan. Dan apa yang disukai oleh Rasulullah S.A.W. adalah sembahyang (sunat) yang sentiasa dibuat sekalipun sedikit. Dan adalah baginda apabila mendirikan sembahyang maka baginda sentiasa berterusan di dalam berbuat demikian.

(Riwayat Bukhari dan Muslim).


Melazimi Berzikir dan Berdoa


Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:

Allah mencurahkan kebajikan pada empat malam iaitu malam Raya Haji, malam Raya Puasa, malam Nisfu Syaaban dan malam Arafah.

(Riwayat Baihaqi)


Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:

Doa merupakan otak kepada ibadat.

(Riwayat at-Tarmizi)


Saidatina Aisyah berkata:

Adalah Rasulullah S.A.W. mengingati Allah (berzikir kepada Allah) setiap masa.

(Riwayat Muslim)


Sentiasa Bertaubat dan Beristigfar

Firman Allah Taala bermaksud:

Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah wahai orang-orang yang beriman supaya kamu berjaya.

(Surah an-Nur: ayat 31)


KELEBIHAN MALAM NISFU SYAABAN

Adapun antara kelebihan malam Nisfu Syaaban itu ada disebutkan di dalam beberapa hadis. Di malam Nisfu Syaaban juga adalah di antara malam-malam yang dikabulkan doa.


Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:

Allah menjenguk datang kepada semua makhlukNya di malam Nisfu Syaaban maka diampunkan dosa sekalian makhlukNya kecuali orang yang menyekutukan Allah atau orang yang bermusuhan.

(Riwayat Ibnu Majah, at-Thabrani dan Ibnu Hibban)


Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:

Allah mencurahkan kebajikan pada empat malam iaitu malam Raya Haji, malam Raya Puasa, malam Nisfu Syaaban dan malam Arafah.

(Riwayat Baihaqi)


Berkata Imam Shafie:

Telah sampai pada kami bahawa dikatakan: Sesungguhnya doa dikabulkan pada lima malam iaitu: Pada malam Jumaat, malam Raya Haji, malam Raya Puasa, malam pertama di bulan Rejab dan malam Nisfu Syaaban.


Berkata Imam Ghazali:

Sesungguhnya sunat muakkad (sunat yang amat digalakkan) menghidupkan hari siang dan malam yang mempunyai kelebihan antaranya malam Nisfu Syaban.




MENGHIDUPKAN MALAM NISFU SYAABAN


Para tabiin ada menghidupkan malam Nisfu Syaaban dengan dua cara:

Pertama: Sebahagian mereka hadir beramai-ramai ke masjid dan berjaga di waktu malam untuk bersembahyang sunat dengan memakai harum-haruman, bercelak mata dan berpakaian yang terbaik.


Kedua: Sebahagiannya lagi melakukannya dengan cara bersendirian. Mereka menghidupkan malam tersebut dengan beribadat seperti sembahyang sunat dan berdoa dengan cara bersendirian.


Adapun cara menghidupkan malam Nisfu Syaaban sebagaimana yang dilakukan sekarang ini tidaklah pernah berlaku pada zaman Rasulullah S.A.W. akan tetapi ia berlaku pada zaman tabiin dari penduduk Syam. Di kebanyakkan negara Arab dan Nusantara kebiasaanya dibacakan Yasin sebanyak tiga kali pada malam Nisfu Syaaban dengan setiap satu bacaan dengan niat tersendiri sepertimana yang pernah diajarkan oleh para tok guru terdahulu. Perkara ini hampir berlaku ijmak padanya memandangkan dilakukan oleh para ulama zaman berzaman sejak dari dahulu lagi hinggalah kini.


Amalan seperti ini tidaklah dinisbahkan kepada Rasulullah S.A.W. sendiri akan tetapi ia boleh dilakukan selagi mana ibadat tersebut tidak bertentangan dengan syarak. Adapun kebanyakkan masyarakat sekarang ini menghidupkan malam Nisfu Syaaban dengan membaca al-Quran seperti membaca surah Yasin, berzikir dan berdoa dengan berhimpun di masjid-masjid atau rumah-rumah persendirian sama ada secara berjemaah atau perseorangan adalah tidak jauh berbeza dengan apa yang dilakukan oleh para tabiiin itu dan dilakukan juga oleh para ulama.




PENUTUP

Marilah bersama-sama kita memperbanyakkan amalan pada bulan Syaaban ini kerana padanya terdapat banyak kelebihan dan keutamaan yang mesti direbut. Tulisan ringkas ini adalah sekadar untuk mengingatkan mana-mana yang terleka dan alpa dalam menjalani hidup ini sebagai hamba Allah Taala yang amat kerdil lagi hina. Semoga kita semua berada di dalam redha Allah Taala setiap masa. InsyaAllah.