Sunday, April 22, 2012

Menonton di Panggung Wayang

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.

Dalam satu majlis ilmu yang dihadiri, seorang dari pendengar telah mengutarakan soalan agak ringkas, namun pada saya, berat juga sebenarnya setelah mendengar ulasan Ustaz ketika itu.

Soalannya berbunyi, "Ustaz, apakah hukum menonton wayang?"



Beberapa ketika, Ustaz kami menjawab, "Hukumnya...dibenarkan...namun, jika mengikuti kriteria yang ditetapkan", Ustaz tersebut menghabiskan jawapannya dengan sekuntum senyuman.

Tidak dinafikan panggung wayang adalah salah satu alat hiburan masa kini. Islam tidak menolak, sebarang perkara yang bermanfaat adalah diharuskan penggunaannya.
Namun, harus diteliti segala aktiviti & isi yang ada di dalam perkara berkaitan dengan alat itu.

Di sini adalah kriteria-kriteria yang digariskan menurut Islam:

1. Bahan tontonan adalah bahan yang bermanfaat, seperti dokumentasi atau sejarah. Pengisian cerita tersebut harus tidak ada unsur kemaksiatan, kemungkaran, ajaran sesat, kesyirikan. Kerana bila berbalik semula kepada syariat, segala bentuk perkara yang menjerumuskan kepada keharaman, maka hukumnya adalah haram.

2. Penonton lelaki & perempuan diasingkan sama sekali. Jauhilah perkara yang mendekati zina. Apa jua bentuk yang mendatangkan zina, wajib dijauhi. Hatta bunyi audio dari apa yang ditonton, jika bunyi yang keluar mampu menjerumuskan ke arah kemaksiatan, wajib dijauhi.

3. Tidak mengganggu waktu solat. Jika waktu tayangan bermula jam 1900, dan tamat setelah 2 jam selepas itu, bilakah waktunya untuk menunaikan solat fardhu Maghrib? Fikirkanlah...

Dalam keadaan hari ini, tidak kira panggung wayang mahupun televisyen, banyak menghalwakan mata-mata penonton dengan tayangan yang membawa kepada perkara haram. Oleh itu, hati-hatilah supaya tidak menjerumuskan ke dalam lembah haram. Perkara ini telah banyak dikupas oleh para ulama hari ini.