Sunday, May 20, 2012

Menghadirkan Roh Solat

Mencari khusyuk di dalam solat…

Suatu ketika, seorang hamba pernah ditanya mengenai keadaan solatnya. Lalu hamba Allah ini mengatakan:

“Sesungguhnya apa yang kukatakan ini bukanlah untuk membuka amalanku yang selama ini menjadi rahsia antara aku & Allah.
Tidak akan ada nilainya amalan berjiwa riya’ di sisiNya, melainkan perbuatan itu hanyalah sia-sia.
Pernyataan ini tidak lain, hanya dikongsikan kepada sesiapa yang mencarinya & mampu untuk dirinya.
Apa yang kuamalkan adalah bersesuaian dengan keadaanku hari ini”.

Sebelum solatku, aku menghadirkan diriku lebih awal sebelum masuknya waktu solat.
Akan aku putuskan perasaanku, hatiku & perbuatanku mengenai urusan kerja duniawi.
Memastikan setiap anggota tubuhku berada dalam siap sedia.
Memusatkan perhatian, diri & rohani pada tempat solat kerana sebentar lagi aku akan berhadapan secara terus dengan Tuhanku & Dia akan Memerhatikan solatku.

Semasa solatku, sebaik mengangkat takbir, aku serahkan seluruh hatiku kepada Allah, kerana aku sedar aku adalah milik mutlakNya.
Sebaik mula melafazkan bacaan, telingaku mendengarkan apa yang diucap oleh mulutku.
Mataku membayangkan ayat-ayat yang sedang kulafazkan.
Akalku mentafsirkan bacaanku.
Hatiku membenarkan & mendoakan.
Dan anggotaku dipastikan tetap berada pada kedudukannya masing-masing.
Tidak sekali-kali aku berbicara dengan diriku kerana perkara itu akan membuatkan aku lalai & leka.

Selesai solatku, aku menyemak lafaz, perbuatan & niat seperti yang telah diajar & cuba memperbaiki jika aku sedar akan adanya kesilapan yang aku lakukan, & berusaha untuk tidak mengulanginya lagi.
Sekian-sekian waktu, aku akan menyemak bacaan, tajwidku kepada orang yang lebih tinggi ilmu agamanya.
Aku memperbanyakkan solat-solat sunat bagi melatih diriku dalam menambah-sempurnakan solatku.
Bermunajat di malam hari, mohon keampunanNya atas kekhilafanku ketika menunaikan hakNya.
Juga mohon diberikan ilham agar dapat memperbaiki lagi solatku agar diterima olehNya, hendaknya.

Namun, suka aku mengingatkan, tunaikanlah tanpa rasa terpaksa…namun, solat itu merupakan satu kewajipan.