Wednesday, May 2, 2012

Islam Itu Mudah, Memudahkan...Namun Jangan Permudahkan

Salah satu peristiwa dalam sejarah Islam telah mencatatkan sebuah kisah yang bersesuaian dijadikan contoh kita hari ini, sesuai dengan tajuk diberi.

Dalam menginginkan anaknya membesar dengan didikan agama yang tinggi, Abdul Aziz telah meninggalkan anaknya, Umar di Madinah agar dia dapat menimba ilmu dengan tokoh-tokoh agama dari pelbagai bidang. Sholeh bin Kisan diamanahkan agar menjaga segala urusan keperluan anaknya sepanjang berada di Madinah.

Salah satu perkara yang sangat dititikberatkan oleh Sholeh adalah, memastikan Umar Abdul Aziz mengerjakan solat dengan berjemaah di masjid. Perkara ini tidak pernah diabaikan walau sekalipun.

Namun, suatu hari, Sholeh mendapati Umar lewat sampai ke masjid bagi solat berjemaah. Ditanya kepada Umar, apa yang telah terjadi sehingga dia lewat sampai ke masjid. Lalu Umar menceritakan:

"Selepas mandi tadi, saya ingin menyisir rambut saya. Tetapi sikat saya telah hilang. Puas saya mencarinya, barulah terjumpa. Itulah sebabnya saya terlewat ke masjid daripada biasa", jujur Umar menjawab tanpa berselindung.

Namun, bagi Sholeh, perkara ini tidak dianggapnya sebagai satu perkara yang remeh. Lalu, diutuskan sepucuk surat kepada Gabenor Abdul Aziz di Mesir bagi menanyakan pendapatnya mengenai perkara itu.

Abdul Aziz membalas surat itu, isi kandungannya menyatakan, segera dicukurkan kepala Umar sehingga botak agar dia tidak perlu lagi menyisir rambutnya.

Allahu Akbar...



Sungguh peristiwa yang begitu terkesan...sehingga terlalu banyak pengajaran yang tersirat di sebalik peristiwa ini, walaupun satu perkara sahaja yang menjadi tajuk iaitu SOLAT.

1.Solat adalah tiang agama, wajib dilaksanakan haknya. Namun, tidak dijadikan kewajipan solat berjemaah & solat di masjid. Namun, ganjaran bagi yang mengerjakannya begitu tinggi. Sungguh begitu, bagi Sholeh selaku penjaga Umar di Madinah, dia menjalankan amanah Abdul Aziz tanpa mengira kepentingan diri. Boleh sahaja dia tidak perlu menyusahkan dirinya bertungkus lumus membesarkan Umar sebegitu rupa.

2.Sholeh gigih mendisiplinkan Umar mengenai solat. Dari segi menjaga masa, tidak meninggalkan solat secara berjemaah, & tekun melakukannya setiap hari. Peranan sebagai seorang bapa tidak kurang hebatnya. Walau berada jauh dari anaknya, namun dia tidak melepaskan tanggungjawabnya. Demi mendisiplinkan diri anaknya, perkara-perkara yang menjadi halangan ke arah itu akan dihapuskan langsung peluangnya. Jika ianya berlaku pada hari ini, perkara itu mungkin dianggap enteng, mungkin juga bukan sebagai satu masalah yang perlu difikirkan, mungkin juga akan ditertawakan jika bertindak seperti apa yang dilakukan oleh Sholeh & Abdul Aziz. Tidak mustahil.

3.Sholeh adalah orang kebiasaan. Abdul Aziz adalah seorang Gabenor di Mesir. Umar adalah cicit kepada Khalifah Islam kedua, Umar Ibn Khattab. Namun, apa yang dikagumkan, mereka memandang diri mereka adalah sama taraf tanpa terikat dengan pangkat mahupun keturunan. Inilah yang diterapkan oleh Baginda SAW. Hanya takwa di sisi Allah yang membezakan maqam seseorang itu. Nilai agama yang ada dalam diri mereka terlalu tinggi sehingga nikmat dunia langsung tidak dipandang oleh mereka.

Masih ada pengajaran yang terselit di sini, namun terkadang sukar untuk diterjemah menerusi penulisan. Semoga kita dikurnia dengan pandangan mata iman hendaknya, insya Allah...

Daripada keadaan ini, kita kongsikan kesan sebahagian kecil yang mereka peroleh sehingga kenikmatan itu dirasai oleh kita hari ini:

1.Setelah melalui beberapa masa, Umar Abdul Aziz diangkat menjadi khalifah. Sebelum perlantikannya, para pemerintah & para ulama tidak sehaluan. Sumbangan para ulama dalam memperjuangkan ajaran Rasulullah SAW tidak dihargai, malah ada yang ditangkap, diseksa & dibunuh, namun mereka tekun meneruskan amanah Allah itu. Bila diberi fatwa, pemerintah berlaku zalim. Mereka sering berselisih pendapat sehingga menyebabkan para ulama menjauhkan diri dari pemerintah. Mereka tidak mahu bersubahat & berlaku zalim. Namun, setelah perlantikan Umar, jurang antara ulama,rakyat & para pemerintah dapat dipadamkan. Malah para ulama sering mendampingi pemerintah. Mereka sedia memberikan pandangan apabila diperlukan. Dalam mendidik para pembesar, menteri & pegawainya, Umar sering mengajak mereka berkumpul di masjid pada malam hari & disertai para ulama. Mereka berzikir bersama-sama & saling mengingatkan kematian sehingga mereka menangis keinsafan.

2.Bagi pertahanan negara, Umar tidak memerlukan tentera yang zalim. Sebelumnya, mereka dididik dengan melakukan kezaliman agar ditakuti oleh musuh mahupun rakyat. Namun setelah pemerintahan beralih kuasa, Umar menguatkuasakan arahan kepada tentera supaya diwajibkan ke atas mereka solat fardhu lima kali sehari semalam tanpa tertinggal tepat pada waktunya. Mana-mana tentera didapati melanggar waktu solat, dipecat serta merta. Kesannya, semua anggota tentera sebelum ini bersifat zalim telah menjadi anggota tentera yang lembut hatinya & lebih bertanggungjawab.

3.Sepanjang berada di Madinah dalam menjawat jawatan sebagai gabenor, Umar pernah disuruh menjadi imam solat berjemaah di Masjid Nabawi. Apa yang membuatkan hati terasa gentar, Anas bin Malik r.a., bukan sahaja tokoh sejarah Islam yang terkenal, malah pernah hidup pada zaman Rasulullah SAW, & Anas merupakan salah seorang sahabat Baginda yang berdamping rapat dengan Baginda SAW itu berkata, "Aku tidak pernah menjadi makmum di belakang imam setelah wafatnya Rasulullah SAW yang mana solat imam itu menyamai solat Rasulullah SAW, melainkan dia Umar Abdul Aziz yang mana ketika itu Umar adalah Gabenor Madinah. Peristiwa ini telah direkodkan oleh Zaid bin Aslam.

4.Hasil didikan penjaga & ayahnya, segala kemewahan & kesenangan yang dikecapi sedari kecil, ditinggalkan begitu sahaja, sehingga apabila Umar meninggal, beliau hanya meninggalkan 17 Dinar yang mana 5 dinar digunakan untuk membeli kafannya, 2 dinar bagi urusan tanah perkuburan, & 10 dinar dibahagikan kepada 11 orang anaknya. Beliau senang memilih kehidupan yang pernah dilalui Baginda SAW sungguhpun beliau seorang khalifah Islam yang besar ketika itu.

Lihatlah, perkara yang kita mungkin anggap mudah kerana mengatakan Islam itu mudah telah mendatangkan kesan begitu besar sekali. Dan lihatlah, perkara yang dicontohkan cuma satu, SOLAT. Belum masuk perkara-perkara wajib yang lain, perkara-perkara sunat... Subhanallah.
Mereka tidak pernah menganggap remeh tentang hukum agama, malah sangat berwaspada dalam melaksanakannya. Kerana mengharapkan redha Allah & melupakan nikmat dunia, tidak satupun perkara yang hanya sekecil zarah dibiarkan & dilepaskan peluangnya dari menggapainya.