Saturday, January 29, 2011

Open Your Eyes

Dengan kurniaan mata, akal fikiran, pendengaran...
Bukakan sebesar-besar mata hati kita...
Insya Allah, kita mampu melihat kebesaranNya...

Dendam luar biasa Abdullah bin ‘Ubai

Abdullah bin ‘Ubai adalah seorang munafik Madinah yang menyimpan dendam yang begitu luar biasanya terhadap Islam. Dia sering mencetuskan rasa ragu-ragu dalam hati kaum Muslimin dengan kata-kata hasutannya.
Antara peristiwa yang hampir-hampir mencetuskan penentangan dalaman kaum Muslimin antara kaum Ansar & Muhajirin adalah ketika dalam perjalanan Nabi saw bersama kaum Muslimin lain ke arah suku Bani Mustaliq untuk menyiasat keadaan mengatakan kaum itu mahu mengepung Madinah.
Dalam perjalanan, Abdullah berpidato, “Semua ini hasil perbuatan kita sendiri. Kita member tempat kepada orang asing dari Makkah itu di negeri kita dan melindunginya dari musuh. Keadaan kita sesuai dengan pepatah, ‘Peliharalah anjingmu, maka ia akan menggigitmu’. Demi Allah! Bila kita kembali ke Madinah, orang yang terkuat terhormat Madinah harus menghalau mereka yang lemah dan hina (menghalau kaum Muhajirin).
Bagi mereka yang masih kuat semangat kekauman, kesukuan, Jahiliyahnya telah membawa kesan dalam diri mereka. Dalam kelompok mereka itu, Zaid bin Arqam mendengar pidato Abdullah itu berkata, “Demi Allah! Engkau orang yang licik lagi rendah. Engkau orang yang tidak akan mendapat tempat di kerabatmu, sementara Nabi Muhammad saw adalah orang yang terhormat di antara kaum Muslimin, dan hati mereka penuh cinta kepadanya.”
Lantas Zaid menceritakan kejadian itu kepada Nabi saw. Untuk mengawal kemarahan kaum Muslimin, terutama kaum Muhajirin, Nabi saw menolak ucapan Zaid sampai tiga kali, “Mungkin kamu keliru. Boleh jadi kemarahan yang mendorong kamu mengatakan itu. Mungkin ia hanya anggap kamu rendah dan bodoh. Tidak lebih dari itu.”
Umar bin Khattab meminta izin Nabi saw untuk membunuh Abdullah tetapi dilarang Nabi saw, “Tidak layak melakukan itu, kerana orang akan berkata, ‘Muhammad membunuh sahabatnya sendiri.’
Punca utama dendam Abdullah bin ‘Ubai
Usaid datang kepada Nabi saw, “Wahai Nabi yang mulia! Kekuasaan ada di tangan tuan. Tuan dapat menyingkirkannya. Tuan dicintai & dihormati, sementara ia hina dan rendah. Berlaku lunaklah kepadanya, kerana ia pihak yang kalah. Sebelum tuan berhijrah ke Madinah, suku ‘Aus dan Khazraj telah sepakat menjadikannya penguasa Madinah, dan sedang merancang mengumpulkan permata untuk dipasang pada mahkotanya. Namun, dengan kedatangan kaum Muslimin, kedudukannya berubah. Orang meninggalkannya. Ia menganggap tuanlah penyebab semua itu.”
Bagi mengelakkan pertempuran dalaman antara kaum Muslimin berlaku, Nabi saw mengarahkan perjalanan diteruskan walaupun sebenarnya belum saatnya mereka bergerak dari berhenti berehat. Perintah berangkat dikeluarkan. Tentera Islam meneruskan perjalanan 24jam tanpa henti kecuali berhenti untuk solat. Pada hari kedua, di saat udara sangat panas dan semua telah kehabisan tenaga untuk meneruskan perjalanan, mereka berkhemah. Begitu turun dari tunggangan, mereka semua tidur kerana keletihan. Seluruh kenangan pahit lenyap dari fikiran mereka dan dengan itu pertikaian mereka seolah-olah terkubur.
Itulah tujuan Baginda saw mengarahkan perjalanan diteruskan dengan tiba-tiba.

Terjadinya perag Ahzab pada tahun kelima Hijriah ada pencetusnya. Dan Nabi saw telah menghukum para pencetusnya dengan mengeluarkan mereka dari wilayah kaum Muslimin sesudah pasukan Ahzab bersurai. Hay bin Akhtab, salah seorang dari mereka telah dihukum bunuh. Tetapi kawannya, Sallam bin Abi al-Haqiq masih berada di Khaibar. Dengan itu, Nabi saw mengutus beberapa perajurit Khazraj untuk membunuh penjahat itu, dengan syarat mereka tidak boleh mengganggu keluarganya (Sallam bin Abi al-Haqiq).
Perajurit-perajurit itu tiba di Khaibar pada waktu malam. Setiba mereka di sana, mereka mengunci pintu-pintu jiran sebelah menyebelah Sallam bin Abi al-Haqiq dari luar, agar mereka tidak dapat keluar jika mereka terdengar suara. Melalui tangga, mereka tiba di lantai tempat tinggal Sallam, lalu mengetuk pintu. Isterinya keluar menanyakan kedatangan mereka. Mereka menjawab, “Kami dari kalangan Arab, ada urusan dengan sang pemimpin, hendak membeli gandum.”
Si isteri membuka pintu lalu menghantarkan mereka ke bilik Sallam, yang ketika itu sedang tidur. Mereka segera memasuki bilik, menutup pintu dan membunuh orang yang merbahaya itu, yang sudah sekian lama mengganggu ketenangan kaum Muslimin. Selepas menyempurnakan tugas itu, mereka turun dan bersembunyi di saluran air diluar benteng.
Jeritan isteri Sallam membangunkan jiran-jiran. Mereka mengejar perajurit-perajurit Khazraj itu dengan lampu, namun mereka tidak menemukan jejak. Akhirnya mereka pulang. Salah seorang dari perajurit itu menyusup di antara kaum Yahudi bagi memastikan Sallam benar-benar sudah mati. Ia bergabung dengan kaum Yahudi mengelilingi Sallam. Melihatkan wajah Sallam, ia yakin bahawa Sallam sudah mati. Si Muslim itupun kembali kepada kawan-kawannya yang lain menceritakan keadaan yang sebenarnya. Maka, mereka kembali ke Madinah lalu menceritakan segala kejadian kepada Nabi saw.

Gurau senda dan olok-olok


Ramai orang zaman sekarang sukar membezakan antara gurau senda yang disyariatkan dengan gurau senda yang bersifat mengejek orang lain (mengolok-olokkan). Mereka tidak tahu dua visi dan telah menjadikan satu bentuk. Tentu saja ini kesalahan yang nyata dipandang di sisi syariat.
Gurau senda adalah sesuatu yang dianjurkan terhadap saudara, rakan dan kawan selagi tidak ada kata-kata yang menyinggung perasaan, tidak menyakiti, tidak menuduh, tidak mendatangkan kesan buruk dan tidak merendahkan martabat orang lain. Tujuan gurau senda adalah untuk melepaskan beban hati dari keletihan dan kepenatan setelah penat bekerja.
Namun begitu, terlalu banyak bercanda mampu menurunkan wibawa dan mengurangi karisma. Boleh bercanda selagi dimaksudkan untuk mencipta hubungan yang mesra, tawaduk di hadapan orang, menimbulkan kesenangan di hati orang, menyingkirkan ketegangan antara mereka, tanpa harus menyinggung kehormatan sesiapapun.
Gurau senda dengan anggota keluarganya dan bersikap ramah terhadap mereka merupakan satu dari jati diri seorang Muslim dan akhlak para nabi. Umar al-Khattab pernah berkata, “Seorang lelaki di tengah-tengah keluarganya, hendaklah menjadi anak-anak kecil. Tetapi jika dicari apa yang ada di dalam dirinya, maka nampak dirinya sebagai orang dewasa.”
Makanya, selidikilah diri sendiri. Adakah kita sering berada dalam kelompok gurau senda yang disyariatkan ataupun sebaliknya. Hanya kita dan Dia sahaja yang tahu apa yang ada di dalam hati kita 

Kerana Iman Seorang Gadis


Seorang dari golongan Ansar yang tidak menarik rupanya serta berbadan pendek, Julaibib namanya. Beliau bukan dari golongan keluarga terkenal, maka agak sukar baginya mendapatkan jodoh. Walaupun beliau suka mendekati dan berbicara dengan wanita, tetapi tiada siapa mahu menerimanya sebagai suami atau menantu. Keadaan ini diketahui oleh Nabi saw, dan telah menjadi bahan fikiran Baginda saw kerana manusia normal seperti Julaibib harus berumahtangga. Lalu Baginda saw mencarikan jodoh kepada Julaibib.
“Wahai Fulan, engkaukan kahwinkan aku dengan anak gadismu,” kata Nabi saw kepada seorang sahabat.
“Baik, dengan segala senang hati,” jawab sahabat itu.
“Tetapi bukan untukku,” kata Nabi saw lagi.
“Untuk siapa?” tanya sahabat tadi seakan terkejut.
“Julaibib,” jawab Nabi saw.
“Ya Rasulullah, baiklah aku berunding dengan ibunya terlebih dahulu,” jawab sahabat itu.
Ia pun segera pulang ke rumahnya. Dalam hatinya timbul rasa serba salah. Jika isterinya menolak, tentu tidak baik bagi orang mukmin. Tetapi jika isterinya menerima, berat juga bermenantukan seorang seperti Julaibib yang akan menjadi perbicaraan orang ramai.
“Nabi meminang anak engkau,” kata sahabat kepada isterinya.
“Dengan segala senang hati,” jawab isterinya.
“Tetapi bukan untuk Baginda, untuk Julaibib,” jawab sahabat.
“Untuk Julaibib? Aku tidak akan mengahwinkan anakku dengan beliau, demi Allah!” jawab isterinya dengan tegas sekali.
Setelah demikian jawapan isterinya, sahabat tadi ingin bertemu Nabi saw, tetapi sebelum berbuat demikian, telah berlaku sesuatu yang tidak terduga sama sekali.
Anak gadisnya telah mendengar perbicaraan orang tuanya dan keputusan menolak Julaibib itu sebenarnya menolak ketentuan Rasul
“Apakah ayah dan ibu menolak keputusan Rasulullah?” demikian anak itu bertanya kepada kedua ibu bapanya.
“Beritahu kepada Nabi, aku menerima pinangannya Julaibib, kerana Baginda tidak akan sesekali membiarkan aku tersia-sia,” selanjutnya dengan tegas sekali jawapan anak gadis itu.
Nabi saw pun mengahwinkan Julaibib dengan gadis itu. Sesungguhnya gadis itu mempunyai pandangan jauh serta iman yang tinggi. Beliau tidak memandang tentang rupa yang tidak disukai orang tetapi sebenarnya menghargai ketentuan Nabi atas dirinya. Rasulullah saw lebih tahu hal ini dan dia yakin ianya tidak akan membuat dirinya terhina. Demikian contoh gadis dengan rasa keimanannya yang menghargai ketentuan agamanya lebih utama.
“Ya Allah, limpahkan keberkatanMu ke atas gadis ini dengan sepenuhnya dan janganlah Engkau biarkan hidupnya dalam susah payah,” demikian Nabi saw mendoakan untuk gadis itu.
Pernikahan itu diselesaikan dan kedua mereka dipertemukan oleh Nabi saw. Sesungguhnya kejadian ini sangat besar ertinya sehingga para sejarawan tidak menyebut nama gadis itu serta kedua ibu bapanya. Biar siapa pun nama gadis ini, apa yang penting yang perlu dicontohi kita adalah nilai keimanan yang tinggi dalam dirinya. Sejarah hanya mengenali kemurniaan gadis itu dari doa Nabi saw untuknya.
Julaibib ini sebenarnya seorang pahlawan unggul walaupun berwajah hodoh. Beliau akhirnya gugur sebagai syahid dalam satu peperangan dan baginda sendiri yang menyempurnakan jasadnya. Isterinya pula menjadi janda terhormat di kemudian harinya. Kedua pasangan ini mendapat penghargaan dari Nabi saw iaitu suaminya kerana keberaniannya manakala isterinya dengan nilai keimanannya.