Wednesday, May 2, 2012

Perindahkan Niatmu

Dalam satu peperangan menentang kaum kafir,
Saidina Ali r.a. telah bertempur sengit dengan salah seorang tentera kafir,
sehinggakan tentera kafir tersebut berjaya meloloskan dirinya.
Saidina Ali r.a. mengejar lelaki tersebut sehingga jatuh tersungkur semula ke tanah.

Saat Saidina Ali r.a. ingin membenamkan mata pedangnya ke dada musuh,
lelaki tersebut sempat meludah ke muka Saidina Ali r.a., sehingga membuatkan Saidina Ali r.a. marah.
Dalam keadaan itu, Saidina Ali r.a. menarik semula pedangnya & membiarkan lelaki itu melepaskan diri.

Para sahabat lain yang menyaksikan kejadian itu hairan, lantas bertanya kepada Saidina Ali r.a.,
“Ya Ali, apa yang telah terjadi sehingga kau melepaskannya begitu sahaja?”
Jawabnya, :Sesungguhnya aku keluar berjihad menghapuskan musuh Islam hanya kerana inginkan redha Allah”.
“Namun, setelah lelaki itu meludah mukaku, aku menjadi marah, & kerana marah itulah aku tidak membunuhnya”.

Adalah menjadi persoalan mengapa kerana marah, beliau membatalkan niat untuk membunuhnya.


Namun, jika anda bertanya kepada akal, akal ada jawapannya.
Jika bertanya kepada iman, iman juga mampu menjawabnya.
Hatta bertanya dengan nafsu sekalipun, nafsu akan memberikan jawapannya.

Anda mampu menilainya…

Sungguh wahai sahabat, betulkan niatmu dalam apa jua pekerjaan yang kamu lakukan.
Jadikan Allah sebagai puncak matlamat hidupmu.
Contoh ini contoh yang baik dipaparkan, namun hanya kerana niat sudah berubah,
balasan/ganjaran pasti berubah.
Apatah lagi kalau dicontohkan dengan tingkah laku kita hari ini…

Sebuah Pertemuan

Ketika diri mencari sinar
Secebis cahaya menerangi laluan
Ada kalanya langkahku tersasar
Tersungkur di lembah kegelapan

Bagaikan terdengar bisikan rindu
Mengalun kalimah menyapa keinsafan
Kehadiranmu menyentuh kalbu
Menyalakan obor pengharapan

Tika ku kealpaan
Kau bisikkan bicara keinsafan
Kau beri kekuatan, tika aku
Diuji dengan dugaan
Saat ku kehilangan keyakinan
Kau nyalakan harapan
Saat ku meragukan keampunan Tuhan
Kau katakan rahmat-Nya mengatasi segala

Menitis airmataku keharuan
Kepada sebuah pertemuan
Kehadiranmu mendamaikan
Hati yang dahulu keresahan

Cinta yang semakin kesamaran
Kau gilap cahaya kebahagiaan
Tulus keikhlasan menjadi ikatan
Dengan restu kasih-Mu, oh Tuhan

Titisan air mata menyubur cinta
Dan rindu pun berbunga
Mekar tidak pernah layu
Damainya hati
Yang dulu resah keliru
Cintaku takkan pudar diuji dugaan
Mengharum dalam harapan
Moga kan kesampaian kepada Tuhan
Lantaran diri hamba kerdil dan hina

Syukur sungguh di hati ini
Dikurniakan teman sejati
Menunjuk jalan dekati-Nya
Tika diri dalam kebuntuan

Betapa aku menghargai
Kejujuran yang kau beri
Mengajarku mengenal erti
Cinta hakiki yang abadi

Tiada yang menjadi impian
Selain rahmat kasih-Mu Tuhan
Yang terbias pada ketulusan
Sekeping hati seorang insan
Bernama teman

Sajak di atas sebenarnya adalah lirik lagu Sebuah Pertemuan nyanyian UNIC.
Diberikan oleh seorang sahabat yang dipertemukan cinta kami di rumahNYA.
Syukur dipanjatkan kepadaMU Ya Rahman, kerana Engkau kelilingi aku dengan orang-orang yang mendamba cintaMU...

Siapakah Yang Lebih Layak Menangisi Pemergiannya?

Pemandangan yang begitu cantik, suasana yang mengharukan…

Apabila ingin memberi khutbah, Baginda SAW akan berdiri menghadap para sahabat & berdiri memijak di atas tunggul pohon kayu.
Itulah tempat & perkara yang biasa dilakukan Baginda SAW sehingga para sahabat membina sebuah mimbar untuk Baginda.

Ketika menaiki mimbar & ingin memulakan khutbahnya, tiba-tiba kedengaran suara seperti anak kecil menangis (ada juga yang meriwayatkan seperti haiwan yang menangis ketika ingin melahirkan anak).
Tangisan itu jelas sehingga semua hadirin mampu mendengarkannya.
Kelihatan Rasulullah SAW pergi menghampiri tunggul yang pernah dipijaknya ketika memberi khutbah dahulu & Baginda mengusapnya sehingga berhenti tangisan tunggul itu.

Sesungguhnya, tunggul kayu itu terlalu sedih kerana Baginda sudah tidak berpijak berdiri di atasnya lagi.
Itu hanyalah tunggul kayu. Rasulullah tidak membelainya, bahkan memijak di atasnya.
Setelah khidmatnya tidak diperlukan lagi, teramat sedih tunggul kayu tersebut dengan pemergian Baginda ke tempat lain,
sehingga tangisannya didengari oleh para sahabat di situ…

Bagaimana pula dengan diri kita selaku manusia yang lengkap dengan akal & nafsu?
Bahkan, sebagai umat yang amat-amat disayanginya?

Renung ke dalam hati...

Islam Itu Mudah, Memudahkan...Namun Jangan Permudahkan

Salah satu peristiwa dalam sejarah Islam telah mencatatkan sebuah kisah yang bersesuaian dijadikan contoh kita hari ini, sesuai dengan tajuk diberi.

Dalam menginginkan anaknya membesar dengan didikan agama yang tinggi, Abdul Aziz telah meninggalkan anaknya, Umar di Madinah agar dia dapat menimba ilmu dengan tokoh-tokoh agama dari pelbagai bidang. Sholeh bin Kisan diamanahkan agar menjaga segala urusan keperluan anaknya sepanjang berada di Madinah.

Salah satu perkara yang sangat dititikberatkan oleh Sholeh adalah, memastikan Umar Abdul Aziz mengerjakan solat dengan berjemaah di masjid. Perkara ini tidak pernah diabaikan walau sekalipun.

Namun, suatu hari, Sholeh mendapati Umar lewat sampai ke masjid bagi solat berjemaah. Ditanya kepada Umar, apa yang telah terjadi sehingga dia lewat sampai ke masjid. Lalu Umar menceritakan:

"Selepas mandi tadi, saya ingin menyisir rambut saya. Tetapi sikat saya telah hilang. Puas saya mencarinya, barulah terjumpa. Itulah sebabnya saya terlewat ke masjid daripada biasa", jujur Umar menjawab tanpa berselindung.

Namun, bagi Sholeh, perkara ini tidak dianggapnya sebagai satu perkara yang remeh. Lalu, diutuskan sepucuk surat kepada Gabenor Abdul Aziz di Mesir bagi menanyakan pendapatnya mengenai perkara itu.

Abdul Aziz membalas surat itu, isi kandungannya menyatakan, segera dicukurkan kepala Umar sehingga botak agar dia tidak perlu lagi menyisir rambutnya.

Allahu Akbar...



Sungguh peristiwa yang begitu terkesan...sehingga terlalu banyak pengajaran yang tersirat di sebalik peristiwa ini, walaupun satu perkara sahaja yang menjadi tajuk iaitu SOLAT.

1.Solat adalah tiang agama, wajib dilaksanakan haknya. Namun, tidak dijadikan kewajipan solat berjemaah & solat di masjid. Namun, ganjaran bagi yang mengerjakannya begitu tinggi. Sungguh begitu, bagi Sholeh selaku penjaga Umar di Madinah, dia menjalankan amanah Abdul Aziz tanpa mengira kepentingan diri. Boleh sahaja dia tidak perlu menyusahkan dirinya bertungkus lumus membesarkan Umar sebegitu rupa.

2.Sholeh gigih mendisiplinkan Umar mengenai solat. Dari segi menjaga masa, tidak meninggalkan solat secara berjemaah, & tekun melakukannya setiap hari. Peranan sebagai seorang bapa tidak kurang hebatnya. Walau berada jauh dari anaknya, namun dia tidak melepaskan tanggungjawabnya. Demi mendisiplinkan diri anaknya, perkara-perkara yang menjadi halangan ke arah itu akan dihapuskan langsung peluangnya. Jika ianya berlaku pada hari ini, perkara itu mungkin dianggap enteng, mungkin juga bukan sebagai satu masalah yang perlu difikirkan, mungkin juga akan ditertawakan jika bertindak seperti apa yang dilakukan oleh Sholeh & Abdul Aziz. Tidak mustahil.

3.Sholeh adalah orang kebiasaan. Abdul Aziz adalah seorang Gabenor di Mesir. Umar adalah cicit kepada Khalifah Islam kedua, Umar Ibn Khattab. Namun, apa yang dikagumkan, mereka memandang diri mereka adalah sama taraf tanpa terikat dengan pangkat mahupun keturunan. Inilah yang diterapkan oleh Baginda SAW. Hanya takwa di sisi Allah yang membezakan maqam seseorang itu. Nilai agama yang ada dalam diri mereka terlalu tinggi sehingga nikmat dunia langsung tidak dipandang oleh mereka.

Masih ada pengajaran yang terselit di sini, namun terkadang sukar untuk diterjemah menerusi penulisan. Semoga kita dikurnia dengan pandangan mata iman hendaknya, insya Allah...

Daripada keadaan ini, kita kongsikan kesan sebahagian kecil yang mereka peroleh sehingga kenikmatan itu dirasai oleh kita hari ini:

1.Setelah melalui beberapa masa, Umar Abdul Aziz diangkat menjadi khalifah. Sebelum perlantikannya, para pemerintah & para ulama tidak sehaluan. Sumbangan para ulama dalam memperjuangkan ajaran Rasulullah SAW tidak dihargai, malah ada yang ditangkap, diseksa & dibunuh, namun mereka tekun meneruskan amanah Allah itu. Bila diberi fatwa, pemerintah berlaku zalim. Mereka sering berselisih pendapat sehingga menyebabkan para ulama menjauhkan diri dari pemerintah. Mereka tidak mahu bersubahat & berlaku zalim. Namun, setelah perlantikan Umar, jurang antara ulama,rakyat & para pemerintah dapat dipadamkan. Malah para ulama sering mendampingi pemerintah. Mereka sedia memberikan pandangan apabila diperlukan. Dalam mendidik para pembesar, menteri & pegawainya, Umar sering mengajak mereka berkumpul di masjid pada malam hari & disertai para ulama. Mereka berzikir bersama-sama & saling mengingatkan kematian sehingga mereka menangis keinsafan.

2.Bagi pertahanan negara, Umar tidak memerlukan tentera yang zalim. Sebelumnya, mereka dididik dengan melakukan kezaliman agar ditakuti oleh musuh mahupun rakyat. Namun setelah pemerintahan beralih kuasa, Umar menguatkuasakan arahan kepada tentera supaya diwajibkan ke atas mereka solat fardhu lima kali sehari semalam tanpa tertinggal tepat pada waktunya. Mana-mana tentera didapati melanggar waktu solat, dipecat serta merta. Kesannya, semua anggota tentera sebelum ini bersifat zalim telah menjadi anggota tentera yang lembut hatinya & lebih bertanggungjawab.

3.Sepanjang berada di Madinah dalam menjawat jawatan sebagai gabenor, Umar pernah disuruh menjadi imam solat berjemaah di Masjid Nabawi. Apa yang membuatkan hati terasa gentar, Anas bin Malik r.a., bukan sahaja tokoh sejarah Islam yang terkenal, malah pernah hidup pada zaman Rasulullah SAW, & Anas merupakan salah seorang sahabat Baginda yang berdamping rapat dengan Baginda SAW itu berkata, "Aku tidak pernah menjadi makmum di belakang imam setelah wafatnya Rasulullah SAW yang mana solat imam itu menyamai solat Rasulullah SAW, melainkan dia Umar Abdul Aziz yang mana ketika itu Umar adalah Gabenor Madinah. Peristiwa ini telah direkodkan oleh Zaid bin Aslam.

4.Hasil didikan penjaga & ayahnya, segala kemewahan & kesenangan yang dikecapi sedari kecil, ditinggalkan begitu sahaja, sehingga apabila Umar meninggal, beliau hanya meninggalkan 17 Dinar yang mana 5 dinar digunakan untuk membeli kafannya, 2 dinar bagi urusan tanah perkuburan, & 10 dinar dibahagikan kepada 11 orang anaknya. Beliau senang memilih kehidupan yang pernah dilalui Baginda SAW sungguhpun beliau seorang khalifah Islam yang besar ketika itu.

Lihatlah, perkara yang kita mungkin anggap mudah kerana mengatakan Islam itu mudah telah mendatangkan kesan begitu besar sekali. Dan lihatlah, perkara yang dicontohkan cuma satu, SOLAT. Belum masuk perkara-perkara wajib yang lain, perkara-perkara sunat... Subhanallah.
Mereka tidak pernah menganggap remeh tentang hukum agama, malah sangat berwaspada dalam melaksanakannya. Kerana mengharapkan redha Allah & melupakan nikmat dunia, tidak satupun perkara yang hanya sekecil zarah dibiarkan & dilepaskan peluangnya dari menggapainya.

Hargai...Syukuri...

Bersyukur untuk menghargai…

Hidup dalam dunia ini adalah untuk bersyukur,
Datangnya perkara kurang senang dalam hidup kita pun kita patut bersyukur,
Kerana perkara itu ujian dari NYA, menandakan DIA ingat & sayangkan kita,

Bersyukur pada orang yang menyakiti kamu kerana dialah orang yang menabahkan kamu
Bersyukur pada orang yang menipu kamu kerana dia yang meningkatkan pengetahuan kamu ,
Bersyukur pada orang yang x mengendahkan kamu kerana dialah yang memupuk kamu berdikari,
Bersyukur pada orang yang menjatuhkan kamu kerana dialah yang memperhebatkan kebolehan kamu,
Bersyukur pada orang yang menyeksa kamu kerana dialah yang menguji kesabaran kamu,
Bersyukur dengan segala ujian dariNya kerana semuanya meningkatkan iman kamu,

Jika kamu berlapang dada, tiada perkara yang akan menyempitkan hati kamu