Saturday, July 17, 2010

Malaikat Mengembangkan Sayapnya Pada Tempat Orang Menuntut Ilmu


Tempat-tempat orang menuntut ilmu merupakan perhatian malaikat, hingga mereka khusyuk di hadapannya & mengembangkan sayapnya kepada para penuntut ilmu.

Rasulullah saw bersabda: Sesungguhnya malaikat itu mengembangkan sayapnya bagi penuntut ilmu kerana mereka redha kepada yang ia perbuat.

Maksudnya, mereka merendahkan diri terhadap orang yang menuntut ilmu, sebagaimana firman Allah tentang merendahkan diri terhadap ibu bapa yang digambarkan dengan kata-kata rendahkanlah sayapmu.

Firman Allah swt: "Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kasih sayang."
(Al-Isra' : 24)

"Dan rendahkanlah dirimu terhadap orang-orang yang mengikutimu, iaitu orang-orang yang beriman."
(Asy-Syuaraa' : 215)

Tentang Hari Jumaat

Dalam hadis Anas ra dari Rasulullah saw telah bersabda: Bahawa sesungguhnya telah datang kepadaku Jibril as & ditelapak tangannya terdapat cermin yang putih & berkata Jibril as: Ini adalah Jumaat, Tuhanmu telah memfardhukannya kepadamu agar Jumaat itu menjadi hari raya bagimu & bagi umatmu sepeninggalanmu.

Kemudian Rasulullah saw bersabda: Apakah yang ada bagi kami di dalamnya, lalu Jibril as berkata: Di dalamnya kamu memiliki saat yang paling baik & barangsiapa yang berdoa di dalamnya dengan kebaikan yang dibahagikan kepadanya, Allah akan memberinya kebaikan itu & tidak ada bahagian yang disimpan untuknya lebih agung dari itu, atau dia berlindung dari keburukan yang telah merupakan hal yang ditulis atas dia kecuali Allah swt akan mengampuninya dari yang lebih besar dari itu. Dia adalah pemimpin dari semua hari bagi kita & kita akan menyebutnya esok dihari kiamat dengan "hari tambahan".

Lalu Rasulullah saw bertanya: Mengapa begitu? Berkata Jibril as: Sesungguhnya tuhanmu telah membuat sebuah lembah yang sangat semerbak bau wanginya & juga sangat putih. Dan apabila datang hari Jumaat maka turunlah Allah swt dari Illiyyin ke atas kursiNya & nampak kepada mereka, sehingga mereka memandang kepada ZatNya yang agung. Rasulullah saw bersabda: Sebaik-baik hari yang terbit matahari di dalamnya adalah hari Jumaat, di hari yang diciptakan Adam as, dihari yang dimasukkan Adam as ke syurga, dihari Adam as diturunkan ke bumi, dihari yang diterimanya taubat Adam as & hari Jumaat juga hari yang Nabi Adam as wafat, & dihari Jumaat jugalah akan berlakunya kiamat itu. Hari itu disisi Allah swt adalah hari penambahan. Begitulah malaikat-malaikat menyebutnya di langit. Dan hari Jumaat jugalah hari melihat kepada Allah swt.

Dalam sebuah hadis menerangkan bahawa sesungguhnya Rasulullah saw telah bersabda: Apabila selamat hari Jumaat, maka selamat pula hari yang lainnya.

Rasulullah saw bersabda: Sesungguhnya neraka jahim itu menyala setiap hari sebelum zawal (iaitu matahari gelincir dari tengah langit) iaitu waktu Istiwa matahari (ditengah langit) dalam jantung langit. Oleh itu, janganlah kamu sembahyang di saat ini kecuali hari Jumaat, kerana pada hari itu waktu solat seluruhnya & sesungguhnya neraka jahannam tidak menyala di dalamnya.

Ka'ab berkata: Sesungguhnya Allah swt telah mengutamakan Makkah di antara beberapa negeri, bulan Ramadhan di antara beberapa bulan & Jumaat di antara beberapa hari, & Lailatul Qadar di antara beberapa malam.

Dikisahkan sesungguhnya burung-burung & bangsa serangga bertemu antara mereka di antara satu dengan lain pada hari Jumaat & mereka berkata: Selamat, selamat, ini adalah hari yang baik.
Rasulullah saw bersabda: Barangsiapa mati pada hari Jumaat, atau malam Jumaat, maka dituliskan baginya pahala orang mati syahid & terpelihara dari seksa kubur.

Hari Jumaat adalah satu hari yang sangat mulia di antara hari-hari yang lain, oleh itu hendaklah kita berada di masjid lebih awal dengan mengerjakan solat-solat sunat & minta kepada Allah swt, sebab dalam masa tersebut ada suatu masa yang mana doa kita akan diperkenankan oleh Allah swt, insyaAllah..

Pakaian : Wanita

Dari Abu Hurairah, sabda Rasulullah saw: Ada dua golongan yang akan menjadi penghuni neraka, keduanya belum aku pernah lihat mereka. Pertama, golongan (penguasa) yang mempunyai cambuk bagaikan ekor lembu yang digunakan untuk memukul orang. Kedua, wanita yang berpakaian tetapi telanjang, berlenggang lenggok waktu berjalan, mengayun-ayunkan bahu.
Kepala mereka (sanggul di atas kepala) bagaikan bonggol (ponok unta yang condong).
Kedua-dua golongan ini tidak akan masuk syurga & tidak akan mencium baunya. Sesungguhnya bau harum syurga itu sudah tercium dari jarak perjalanan sekian & sekian (jarak jauh).
-HR Muslim

Apa yang dikatakan Rasulullah saw itu sudah banyak dijumpai hari ini (wanita yang berpakaian tetapi telanjang). Di sini boleh dimaksudkan dengan berpakaian & juga boleh dianggap tidak berpakaian.
Dia berpakaian tetapi sebahagian besar tubuhnya dibiar & disengajakan terbuka. Dia berpakaian tetapi dengan mengenakan kain yang tipis. Dia juga berpakaian tetapi mengenakan pakaian yang ketat, yang boleh menyebabkan bentuk tubuhnya kelihatan jelas. Sejelasnya, ciri-ciri ini tidak memenuhi syarat-syarat berpakaian.
Di mana syarat-syarat pakaian seorang wanita Islam:
1.Menutup seluruh anggota tubuh.
2.Tidak memakai perhiasan.
3.Kainnya tidak terang atau tipis.
4.Tidak terlalu sempit.
5.Tidak memakai wangi-wangian.
6.Tidak menyerupai pakaian lelaki.
7.Tidak menyerupai pakaian orang kafir.
8.Tidak memakai fesyen yang meransang (seksi).

Pakaian yang tidak menepati syarak ini pada mulanya dipakai oleh wanita bukan Islam, tetapi menjadi ikutan oleh wanita Islam kini. Mereka memakai pakaian itu kerana mungkin tidak ditegah dalam agama mereka. Mungkin juga mereka berpakaian seperti itu supaya wanita Islam terpengaruh. Lihat sahajalah peraturan-peraturan sukan antarabangsa berkenaan dengan pakaian wanita, contohnya sukan lumba lari, renang... Sehingga hari ini, tidak ada negara Islam yang membantah tentang peraturan itu.


Thursday, July 15, 2010

4 Pesanan Rasulullah saw untuk pohon tauhid kita..

1.Kuatkanlah bahteramu, sesungguhnya lautan yang bakal kamu harungi sangat dalam.
2.Bawalah bekalan yang secukupnya dalam melayari bahteramu, sesungguhnya perjalananmu adalah jauh.
3.Ringankanlah belakangmu, sesungguhnya gunung yang bakal kamu daki sangatlah curam.
4.Ikhlaskanlah hati kamu dalam melakukan apa sahaja pekerjaan, sesungguhnya yang akan memeriksa kebajikan & amalanmu adalah Yang Maha Mengetahui segala-galanya. Jadi, lahirkanlah ikhlas itu tanpa ada rasa tersembunyi yang lain.

Sesungguhnya pesanan Baginda saw melangkaui semua yang ada di dunia ini. Tidak nampakkah kita, betapa dalam & tingginya cinta Baginda terhadap kita, umatnya..
Jadikanlah hidup kita sebagai pohon tauhid yang sentiasa mengingati matlmat hidup di dunia yang hanya sementara..

Tiada yang lebih baik daripada...

Tiada usaha yang dapat menandingi usaha mencari kesejahteraan.
Tiada kesejahteraan yang menandingi kesejahteraan hati.
Tiada kesulitan seperti sulitnya melawan hawa nafsu.
Tiada kefakiran yang menandingi kefakiran hati.
Tiada kekayaan yang menandingi kekayaan jiwa.
Tiada kekuatan yang menyamai kekuatan menahan kemarahan.
Tiada sinar seperti cahaya keyakinan.
Tiada keyakinan yang menyamai keyakinan pandangan terhadap dunia.
Tiada makrifat yang seperti makrifat jiwa.
Tiada zuhud yang beratnya seperti mengikis angan-angan.
Tiada kerakusan yang sejahat kerakusan dalam berlumba-lumba mengejar pangkat.
Tiada ketaatan yang sebaik ketaatan dalam melaksanakan kewajipan.
Tiada ketaqwaan yang seberat ketaqwaan dalam menjauhi larangan.
Tiada kehilangan yang mengalahkan kerugian hilangnya fikiran.
Tiada keutamaan yang menandingi jihad.
Tiada jihad yang mengalahkan beratnya jihad melawan hawa nafsu.
Tiada kerendahan yang lebih buruk daripada sifat tamak.
Tiada kenikmatan yang seperti kenikmatan selamat dari dosa-dosa.
Dan tiada keselamatan yang mampu menandingi keselamatan mendapat petunjuk..

Barangsiapa yang tidak menjaga diri sebaik-baiknya, maka hawa nafsunya cepat membawanya ke dalam kebinasaan. Orang yang binasa tidak ada manfaatnya dengan selamatnya orang yang mendapat keselamatan.
Pahitnya taqwa di dunia beerti sebuah kemanisan pada hari kiamat. Orang yang rosak ialah orang yang merosak akhir perjalanan hidupnya, padahal ia sudah mendekati saat kematian..

Wednesday, July 14, 2010

Pernikahan Fatimah & Ali

Fatimah adalah puteri Rasulullah saw. Rasulullah saw sangat sayang kepadanya, kerana di samping seorang wanita yang zuhud dari kehidupan duniawi, ia juga sebagai ibu kepada Hasan & Husin yang merupakan buah hati Rasulullah saw.

Ketika usia Fatimah telah meningkat dewasa, Rasulullah saw merasa sedih melihatnya. Baginda merasa hiba kerana Fatimah tidak lagi mempunyai ibu yang dapat menguruskan tentang perkahwinannya.

Setelah itu turunlah Jibril as & ia berkata: Wahai Muhammad saw, Allah telah memberi salam kepadamu & berfirman: "Janganlah engkau berduka & bersedih hati kerana Fatimah, sebab Aku lebih mencintainya berbanding kecintaanmu kepadanya, maka serahkanlah urusan perkahwinannya kepadaKu. Aku akan mengahwinkannya dengan orang yang juga Aku cintai."
Lalu Rasulullah saw bersujud, sebagai bukti tanda bersyukur terhadap Allah swt.

Kemudian turunlah Jibril, Mikail, Israfil, Izrail, setiap malaikat itu membawa tempat yang tertutup, & setiap malaikat tadi diiringi oleh seribu malaikat. Mereka meletakkan tempat-tempat itu di hadapan Rasulullah saw, kemudian Rasulullah saw bertanya: Apakah yang engkau bawa ini Jibril?

Jibril menjawab: Allah swt berfirman: "Sesungguhnya aku telah menikahkan Fatimah dengan Ali, dan ini adalah pakaian syurga & buah-buahan, Aku pakaikan ia dengan pakaian ini."
Kemudian Rasulullah saw sujud & berkata: Wahai Jibril, sesungguhnya Fatimah redha dengan apa yang aku redha, aku lebih suka seandainya hadiah-hadiah tersebut diberikan di akhirat saja, tidak di dunia ini.

Rasulullah saw bertanya: Wahai Jibril, bagaimana halnya dengan perkahwinan Fatimah dilangit tersebut? Jibril menjawab: Wahai Muhammad, bahawasanya Allah swt memerintahkan agar pintu-pintu syurga dibuka & pintu-pintu neraka ditutup. Kemudian Allah swt menghias Arsy, Kursi, pokok thuba & Sidratul Muntaha. Lalu Allah swt memerintahkan kepada pelayan-pelayan syurga supaya mendirikan khemah-khemah disetiap istana, & pada tiap-tiap kamar didirikan singgahsana-singgahsana, kemudian mereka duduk pada jamuan pengantin Fatimah.

Allah swt memerintahkan pula kepada Malaikat Muqarrabin, Ruhaniyyin, Karubiyyin untuk berkumpul di bawah pokok thuba. Kemudian Allah swt mendatangkan angin nyaman di dalam syurga tersebut. Maka berguguranlah buah-buahan alkafor, misik dan anbar ke atas para malaikat. Kemudian Allah swt menyuruh kepada burung-burung di syurga agar menyanyi, maka bernyanyilah burung-burung itu, sedangkan para bidadari menaburkan perhiasan & permata ke atas mereka.

Setelah itu Allah swt berkhutbah, memuji diriNya & berfirman: "Sesungguhnya Aku telah mengahwinkan ratu seluruh wanita dengan Ali bin Thalib. Dan Allah swt berkata kepada Jibril: "Wahai Jibril engkaulah sebagai wakil daripada Ali bin Abi Thalib, & Aku sebagai wakil rasulKu Muhammad." Allah swt mengahwinkannya, & aku menerimanya, sebagai wakil daripada Ali bin Abi Thalib. Itulah aqad nikahnya yang terjadi dilangit. Maka laksanakanlah pernikahannya kembali dibumi.

Kemudian Rasulullah saw memberitahukan hal tersebut kepada Ali, juga kepada Fatimah puteri baginda. Dan baginda mengumpulkan semua sahabatnya di dalam masjid. Jibril as turun & berkata ertinya: Sesungguhnya Allah swt menyuruh Ali bin Abi Thalib membacakan khutbah nikahnya sendiri.

Rasulullah saw menyuruh Ali supaya membaca khutbah nikahnya sendiri. Maka Ali pun berkhutbah: Segala puji bagi Allah Yang Maha Esa di dalam keagungan & kesempurnaan, yang telah menciptakan manusia & telah membahagi-bahagikan tingkatan makhluknya, yang tidak serupa dengan sesuatu & tidak ada yang serupa dengannya. Dialah yang telah menciptakan hamba-hambaNya di dalam beberapa negeri, diberinya ilham kepada mereka agar dapat mengucapkan tasbih & pujian kepadaNya. Maka mereka pun mengucapkan tasbih dan menyucikanNya. Dialah Allah yang tiada tuhan selain Dia. Ia menyuruh hamba-hambaNya supaya nikah, maka mereka pun menerimanya.

Segala puji bagi Allah atas semua nikmat kurniaNya. Aku bersaksi bahawa tidak ada tuhan selain Allah, suatu kesaksian yang akan sampai kepadaNya & akan diredhai, & akan menyelamatkan orang yang mengucapkannya pada hari setiap orang lari daripada saudaranya, dari ibunya, dari ayahnya dari sahabatnya & daripada anaknya.

Semoga selawat & salam dari Allah swt untuk Muhammad saw An-Nabiyyil Ummi yang telah dipilih & diredhaiNya sebagai penerima wahyu daripadaNya. Dan semoga rahmat Allah swt berlimpah ke atas keluarga, sahabat & pencintanya.

Pernikahan itu adalah dengan apa yang ditetapkan & diizinkan Allah. Saya sebagai hamba Allah & putera hambaNya, yang ingin keredhaanNya, melamar sebaik-baik wanita di alam semesta, saya berikan mahar untuknya sebanyak empat ratus dirham dengan tunai, apakah baginda Rasulullah saw kahwinkan saya dengannya wahai Rasul al-Amin?

Maka menjawablah Rasulullah saw: Aku kahwinkan Fatimah denganmu wahai Ali, & Allah pun telah mengahwinkanmu, meredhaimu & memilihmu. Ali menjawab: Saya terima daripada Allah swt & daripadamu wahai Rasulullah saw.

Ketika Fatimah mendengar bahawa mas kahwinnya adalah dirham, ia lalu berkata: Wahai ayahandaku, bahawasanya, semua anak perempuan orang-orang lain memakai mas kahwin dengan dirham & dinar, maka apakah bezanya antara orang-orang lain itu denganku? Aku meminta agar mas kahwinku berupa syafaat bagi orang-orang yang maksiat di antara umatmu.

Kemudian turunlah Jibril as ketika itu juga, sambil membawa sutera yang bertuliskan: "Allah menjadikan mas kahwin Fatimah puteri Muhammad saw berupa syafaat bagi orang-orang yang berdosa di antara umatnya." Peristiwa perkahwinan Fatimah & Ali ini terjadi pada hari Jumaat.

Tuesday, July 13, 2010

15 Perkara

Dari Suwaid Ibn Harits: Pada suatu hari, kami yang terdiri daripada 7 orang datang ke hadapan Baginda saw. Setelah kami masuk ke rumah, Baginda saw kagum melihat sikap kami & pakaian kami.

Baginda saw bertanya: Siapa kalian?

Jawab kami: Sesungguhnya setiap ucapan itu mempunyai hakikat.

Baginda saw bertanya: Apa hakikat ucapan & iman kalian?

Jawab kami: Ada 15 perkara, 5 perkara yang engkau perintahkan kami untuk beriman kepadanya, 5 perkara yang engkau perintahkan agar kami melaksanakan & 5 perkara lagi merupakan sikap kami sejak masa jahiliyah & kami selalu taat.

Baginda bertanya: Apa saja 5 perkara yang telah diperintahkan untuk diimani?

Jawab kami: Engkau telah memerintahkan kami agar beriman kepada Allah swt, malaikat-malaikat Allah, kitab-kitab Allah, rasul-rasul Allah & kebangkitan setelah kematian.

Baginda bertanya : Apa saja 5 perkara telah aku perintahkan untuk dilaksanakan?

Jawab kami: Engkau telah memerintahkan kami supaya mengucapkan kalimat tauhid, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan & menunaikan haji bagi yang mampu.

Baginda bertanya: Dan apa saja 5 perkara yang telah biasa kamu lakukan sejak masa jahiliyah?

Jawab kami: Bersyukur kepada Allah di saat kaya, sabar ketika ditimpa musibah, teguh di kala berperang, redha di atas takdir yang buruk & bersabar ketika musuh mencemarkan kita.

Kemudian Rasulullah saw bersabda: Hampir saja darjat para ulama yang bijaksana itu menyamai darkat para nabi. Sekarang aku akan menambahkan 5 perkara lagi agar kamu mendapat genap menjadi 20 perkara. Jika kamu memang dalam keadaan sebagaimana yang kamu katakan, iaitu: Jangan kamu mengumpulkan makanan yang tidak kamu perlukan. Jangan kamu membangun rumah yang kamu tidak tempati. Jangan berlumba-lumba mengejar kedudukan duniawi yang akan kamu tinggalkan. Takutlah kepada Allah kerana kepadaNya kamu akan kembali dan menghadap. Utamakan kehidupan akhirat di mana kamu akan hidup kekal nantinya.

Kesabaran


Kesabaran adalah jalannya orang-orang yang berzuhud.
1. Sabar menanggung rasa lapar dengan senang hati, bukan dengan malas.
2. Sabar menanggung kemiskinan dengan senang hati, bukan dengan kesedihan.
3. Sabar menanggung musibah dengan redha, bukan dengan marah.
4. Sabar berpuasa dengan pasrah, bukan dengan kebosanan.

Syaqiq Ibn Ibrahim Al-Balkhi