Saturday, January 29, 2011

Kerana Iman Seorang Gadis


Seorang dari golongan Ansar yang tidak menarik rupanya serta berbadan pendek, Julaibib namanya. Beliau bukan dari golongan keluarga terkenal, maka agak sukar baginya mendapatkan jodoh. Walaupun beliau suka mendekati dan berbicara dengan wanita, tetapi tiada siapa mahu menerimanya sebagai suami atau menantu. Keadaan ini diketahui oleh Nabi saw, dan telah menjadi bahan fikiran Baginda saw kerana manusia normal seperti Julaibib harus berumahtangga. Lalu Baginda saw mencarikan jodoh kepada Julaibib.
“Wahai Fulan, engkaukan kahwinkan aku dengan anak gadismu,” kata Nabi saw kepada seorang sahabat.
“Baik, dengan segala senang hati,” jawab sahabat itu.
“Tetapi bukan untukku,” kata Nabi saw lagi.
“Untuk siapa?” tanya sahabat tadi seakan terkejut.
“Julaibib,” jawab Nabi saw.
“Ya Rasulullah, baiklah aku berunding dengan ibunya terlebih dahulu,” jawab sahabat itu.
Ia pun segera pulang ke rumahnya. Dalam hatinya timbul rasa serba salah. Jika isterinya menolak, tentu tidak baik bagi orang mukmin. Tetapi jika isterinya menerima, berat juga bermenantukan seorang seperti Julaibib yang akan menjadi perbicaraan orang ramai.
“Nabi meminang anak engkau,” kata sahabat kepada isterinya.
“Dengan segala senang hati,” jawab isterinya.
“Tetapi bukan untuk Baginda, untuk Julaibib,” jawab sahabat.
“Untuk Julaibib? Aku tidak akan mengahwinkan anakku dengan beliau, demi Allah!” jawab isterinya dengan tegas sekali.
Setelah demikian jawapan isterinya, sahabat tadi ingin bertemu Nabi saw, tetapi sebelum berbuat demikian, telah berlaku sesuatu yang tidak terduga sama sekali.
Anak gadisnya telah mendengar perbicaraan orang tuanya dan keputusan menolak Julaibib itu sebenarnya menolak ketentuan Rasul
“Apakah ayah dan ibu menolak keputusan Rasulullah?” demikian anak itu bertanya kepada kedua ibu bapanya.
“Beritahu kepada Nabi, aku menerima pinangannya Julaibib, kerana Baginda tidak akan sesekali membiarkan aku tersia-sia,” selanjutnya dengan tegas sekali jawapan anak gadis itu.
Nabi saw pun mengahwinkan Julaibib dengan gadis itu. Sesungguhnya gadis itu mempunyai pandangan jauh serta iman yang tinggi. Beliau tidak memandang tentang rupa yang tidak disukai orang tetapi sebenarnya menghargai ketentuan Nabi atas dirinya. Rasulullah saw lebih tahu hal ini dan dia yakin ianya tidak akan membuat dirinya terhina. Demikian contoh gadis dengan rasa keimanannya yang menghargai ketentuan agamanya lebih utama.
“Ya Allah, limpahkan keberkatanMu ke atas gadis ini dengan sepenuhnya dan janganlah Engkau biarkan hidupnya dalam susah payah,” demikian Nabi saw mendoakan untuk gadis itu.
Pernikahan itu diselesaikan dan kedua mereka dipertemukan oleh Nabi saw. Sesungguhnya kejadian ini sangat besar ertinya sehingga para sejarawan tidak menyebut nama gadis itu serta kedua ibu bapanya. Biar siapa pun nama gadis ini, apa yang penting yang perlu dicontohi kita adalah nilai keimanan yang tinggi dalam dirinya. Sejarah hanya mengenali kemurniaan gadis itu dari doa Nabi saw untuknya.
Julaibib ini sebenarnya seorang pahlawan unggul walaupun berwajah hodoh. Beliau akhirnya gugur sebagai syahid dalam satu peperangan dan baginda sendiri yang menyempurnakan jasadnya. Isterinya pula menjadi janda terhormat di kemudian harinya. Kedua pasangan ini mendapat penghargaan dari Nabi saw iaitu suaminya kerana keberaniannya manakala isterinya dengan nilai keimanannya.