Saturday, January 29, 2011

Dendam luar biasa Abdullah bin ‘Ubai

Abdullah bin ‘Ubai adalah seorang munafik Madinah yang menyimpan dendam yang begitu luar biasanya terhadap Islam. Dia sering mencetuskan rasa ragu-ragu dalam hati kaum Muslimin dengan kata-kata hasutannya.
Antara peristiwa yang hampir-hampir mencetuskan penentangan dalaman kaum Muslimin antara kaum Ansar & Muhajirin adalah ketika dalam perjalanan Nabi saw bersama kaum Muslimin lain ke arah suku Bani Mustaliq untuk menyiasat keadaan mengatakan kaum itu mahu mengepung Madinah.
Dalam perjalanan, Abdullah berpidato, “Semua ini hasil perbuatan kita sendiri. Kita member tempat kepada orang asing dari Makkah itu di negeri kita dan melindunginya dari musuh. Keadaan kita sesuai dengan pepatah, ‘Peliharalah anjingmu, maka ia akan menggigitmu’. Demi Allah! Bila kita kembali ke Madinah, orang yang terkuat terhormat Madinah harus menghalau mereka yang lemah dan hina (menghalau kaum Muhajirin).
Bagi mereka yang masih kuat semangat kekauman, kesukuan, Jahiliyahnya telah membawa kesan dalam diri mereka. Dalam kelompok mereka itu, Zaid bin Arqam mendengar pidato Abdullah itu berkata, “Demi Allah! Engkau orang yang licik lagi rendah. Engkau orang yang tidak akan mendapat tempat di kerabatmu, sementara Nabi Muhammad saw adalah orang yang terhormat di antara kaum Muslimin, dan hati mereka penuh cinta kepadanya.”
Lantas Zaid menceritakan kejadian itu kepada Nabi saw. Untuk mengawal kemarahan kaum Muslimin, terutama kaum Muhajirin, Nabi saw menolak ucapan Zaid sampai tiga kali, “Mungkin kamu keliru. Boleh jadi kemarahan yang mendorong kamu mengatakan itu. Mungkin ia hanya anggap kamu rendah dan bodoh. Tidak lebih dari itu.”
Umar bin Khattab meminta izin Nabi saw untuk membunuh Abdullah tetapi dilarang Nabi saw, “Tidak layak melakukan itu, kerana orang akan berkata, ‘Muhammad membunuh sahabatnya sendiri.’
Punca utama dendam Abdullah bin ‘Ubai
Usaid datang kepada Nabi saw, “Wahai Nabi yang mulia! Kekuasaan ada di tangan tuan. Tuan dapat menyingkirkannya. Tuan dicintai & dihormati, sementara ia hina dan rendah. Berlaku lunaklah kepadanya, kerana ia pihak yang kalah. Sebelum tuan berhijrah ke Madinah, suku ‘Aus dan Khazraj telah sepakat menjadikannya penguasa Madinah, dan sedang merancang mengumpulkan permata untuk dipasang pada mahkotanya. Namun, dengan kedatangan kaum Muslimin, kedudukannya berubah. Orang meninggalkannya. Ia menganggap tuanlah penyebab semua itu.”
Bagi mengelakkan pertempuran dalaman antara kaum Muslimin berlaku, Nabi saw mengarahkan perjalanan diteruskan walaupun sebenarnya belum saatnya mereka bergerak dari berhenti berehat. Perintah berangkat dikeluarkan. Tentera Islam meneruskan perjalanan 24jam tanpa henti kecuali berhenti untuk solat. Pada hari kedua, di saat udara sangat panas dan semua telah kehabisan tenaga untuk meneruskan perjalanan, mereka berkhemah. Begitu turun dari tunggangan, mereka semua tidur kerana keletihan. Seluruh kenangan pahit lenyap dari fikiran mereka dan dengan itu pertikaian mereka seolah-olah terkubur.
Itulah tujuan Baginda saw mengarahkan perjalanan diteruskan dengan tiba-tiba.