Tuesday, August 3, 2010

Abul Fidaa' Ismail bin Katsir al-Quraisy (Ibnu Kathir)

Ibnu Kathir adalah seorang ahli dalam bidang hadith & juga seorang ahli tafsir. Nama lengkapnya ialah Ismail bin Umar bin Kathir bin Dhau' bin Dara' al-Quraisy. Beliau asalnya bermastautin di Busra (Basrah) kemudian berpindah ke Damsyik (Damaskus, Syiria).

Kelahirannya
Ibnu Kathir dilahirkan di daerah Mujaddil, daerah yang termasuk sebahagian daripada wilayah Kota Basrah, Syam pada tahun 701H/1302M. Ayahandanya ialah anak jati Basrah, Syam. Sementara ibunya dari Mujaddil.

Kewafatannya
Beliau meninggal di Damsyik pada hari Khamis 26 Syaaban 774H/1373M.Jenazah beliau diusung oleh para pentakziah yang besar jumlahnya & dimakamkan berhampiran permakaman Syeikh Ibnu Taimiah (dipemakaman para ahli sufi, di luar pintu Kota an-Nash di Damsyik).

Ayahanda Ibnu Kathir
Ayahandanya bernama Abu Hafsin Syihabuddin Umar bin Kathir. Beliau merupakan salah seorang ulama ahli feqah & juga seorang pemidato yang terkenal. Beliau dilahirkan (sebagaimana yang disebut oleh puteranya, Ibnu Kathir) di penghujung tahun 645H/1242M. Beliau berpindah ke Kota Damsyik bersama puteranya Ibnu Kathir pada tahun 706H/1306M. Ketika itu Ibnu Kathir baru mencecah umur 5 tahun.

Fokus dalam bidang keilmuan
Ibnu Kathir menghafal al-Quran pada tahun 711H/1311M. Hal itu dijelaskan di dalam biografinya. Awalnya Ibnu Kathir mendalami ilmu atas bimbingan saudaranya, Abdul Wahab. Selanjutnya beliau berusaha belajar di bawah bimbingan para ulama terkemuka di masanya.
Ibnu Kathir belajar di bawah bimbingan Syeikh Burhanuddin al-Fazari & Syeikh Kamluddin bin Qadhi Syubhah. Beliau juga belajar & menghafal kitab at-Tanbih karya asy-Syirazi dalam cabang Mazhab Syafie, & Muhtashar Ibnu Hajib di bidang Usul Feqah. Ketika menginjak dewasa, beliau belajar di bawah bimbingan Abul Hijaj al-Muzi. Beliau dinikahkan dengan anak gadis ulama ini. Ibnu Kathir juga dikenali sebagai salah seorang murid terkemuka kepada Ibnu Taimiah.

Pengulasan terhadap penulisannya
Saya mengagumi cara penulisan beliau banyak membawa pembaca supaya menimbang & berfikir lebih jauh & tidak menerima bulat-bulat terhadap penulisan & pandangannya. Bagi hendak membahaskan sesuatu topik, beliau lebih banyak mengketengahkan pandangan ahli hadith, ahli sejarah & periwayat-periwayat terkemuka seperti Ibnu Hatim, as-Suda, Qatadah, Muhammad bin Ishak & ramai lagi. Mereka ini mempunyai pandangan yang pelbagai sudut yang membawa pembaca jauh lebih mahu berfikir. Hadith-hadith yang diketengahkan juga bukan hanya hadith-hadith yang sahih, tetapi hadith-hadith dhaif, tidak bersanad, gharib & bermacam jenis lagi juga dimasukkan di dalam penulisan beliau, agar para pembaca mampu menimbang & tahu berfikir dengan lebih dalam. Namun, penulisannya disokong & dimantapkan dengan potongan ayat al-Quran & hadith-hadith yang sahih.